Home Hiburan KES PENGESAHAN LAFAZ RUJUK ADIRA, DATUK RED BERSAMBUNG 25 JUN

KES PENGESAHAN LAFAZ RUJUK ADIRA, DATUK RED BERSAMBUNG 25 JUN

36
0

RAWANG: Memetik laporan menerusi Berita Harian Mahkamah Syariah Gombak Barat hari ini menangguhkan prosiding pengesahan lafaz rujuk membabitkan Datuk Seri Adnan Abu Bakar terhadap bekas isterinya, penyanyi Adira Suhaimi, pada 25 Jun depan.

Prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie Nurul Hidayah Jani kira-kira jam 11 pagi itu berjalan selama hampir dua jam secara tertutup dengan kehadiran kedua-dua pihak iaitu plaintif dan defendan.

Peguam syarie mewakili Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, Noorhaiza Mariena Mat Ramli, berkata anak guamnya telah selesai memberikan keterangan pada prosiding hari ini.

“Pada hari ini, perbicaraan diteruskan bagi mendengar keterangan plaintif iaitu Datuk Red berhubung permohonan pengesahan lafaz rujuk yang didakwa berlaku pada Mei 2024 dalam tempoh iddah selepas perceraian.

“Anak guam kami telah memberikan keterangan secara jelas dan terperinci. Prosiding hari ini ditutup dengan keterangan plaintif dan tiada saksi dikemukakan pada peringkat ini.

“Perbicaraan seterusnya pada 25 Jun akan diteruskan dengan keterangan defendan, dan kemungkinan saksi akan dipanggil oleh pihak defendan,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Syariah Gombak Barat, hari ini.

Peguam syarie mewakili Adira, Nor Saidah Zakaria, mengesahkan bahawa anak guamnya tidak memberikan keterangan pada prosiding hari ini.

“Prosiding hari ini hanya melibatkan keterangan plaintif. Soal utama, soal balas dan soal semula telah selesai bagi pihak plaintif.

“Keterangan defendan akan didengar pada tarikh akan datang,” katanya.

Terdahulu, prosiding pertama yang dijadualkan pada 16 Februari lalu ditangguhkan kepada hari ini.

Sebelum ini, Adnan melalui permohonan difailkan pada 18 Disember lalu mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 dalam tempoh iddah selepas perceraian, namun Adira dilaporkan tidak mengesahkan perkara tersebut.

Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi sebelum ini dilaporkan terkejut dengan tindakan bekas suaminya itu dan menegaskan tidak mengetahui mengenai pengesahan lafaz rujuk berkenaan.

Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3. – BH Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here