Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Mangsa kedua yang cedera parah akibat dirempuh sebuah kereta yang dipandu guru wanita di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, semalam kini dalam keadaan sedar dan stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Mohd Azman Yacob berkata, pada masa ini, keadaan mangsa, Zara Akhtar Zamzuri, 13, menunjukkan bacaan tanda vital yang memuaskan.
“Berdasarkan penilaian awal, pesakit didapati mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan muka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, memandangkan kes terbabit masih dalam siasatan pihak polis, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan memohon agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung insiden itu.
“Pihak kami akan terus memastikan pesakit menerima rawatan yang terbaik serta pemantauan rapi sehingga pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi.
”Kami juga berharap agar seluruh masyarakat dapat bersama-sama mendoakan kesejahteraan beliau,” katanya.
IMedikel TV






