KUALA LUMPUR: Pelakon, Ikmal Amry akhirnya bersuara apabila isu dirinya sering dibandingkan dengan pelakon Indonesia, Jefri Nichol, terus hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.
Ikmal mengakui, situasi itu bukan perkara baharu, malah sudah berlarutan sejak dia masih bujang sehingga kini bergelar suami dan bapa.
Menurut Ikmal atau nama sebenar Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 31, meskipun tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang negatif, dia merasakan sudah tiba masanya untuk perbandingan tersebut dihentikan.
“Sebenarnya perkara ini sudah lama berlaku. Setiap kali saya muncul di televisyen, pasti ada yang membandingkan rupa saya dengan individu lain.
“Ada juga rezeki di situ kerana individu itu sangat popular di Indonesia dan nama saya turut disebut.
“Namun, saya rasa sudah tiba masanya perkara ini dihentikan, lebih-lebih lagi saya kini sudah mempunyai dua anak dan bakal menimang cahaya mata ketiga,” katanya.
Ikmal menegaskan, dia tidak mempunyai masalah jika dibandingkan, namun setiap komen perlulah disampaikan secara beradab tanpa menghina mana-mana pihak.
“Jika mahu membuat perbandingan, lakukanlah secara berhemah. Jangan sampai merendah-rendahkan sesiapa.
“Setiap orang ada kelebihan tersendiri. Apa yang baik pada seseorang mungkin berbeza pada pandangan orang lain,” katanya.
Pada masa sama, Ikmal menafikan wujud sebarang perasaan negatif terhadap netizen, malah menjelaskan hantaran dimuat naik di platform Threads sebelum ini hanyalah untuk meredakan keadaan.
“Saya tidak marah, tiada kebencian atau dendam. Saya hanya mahu keadaan tidak menjadi lebih tegang.
“Saya bimbang jika perkara ini dilihat melampau, terutama oleh peminat di sini,” katanya.
Ikmal turut meluahkan kebimbangan sekiranya perbandingan tersebut memberi kesan kepada Jefri yang ketika itu sedang menjadi perhatian ramai.
“Saya tidak mahu namanya terpalit perkara kurang enak disebabkan saya.
“Sebab itu saya hanya beri pandangan ringkas, tetapi tidak sangka pula ia menjadi perhatian,” katanya
Menurut Ikmal, dia sendiri hanya menyedari perkara itu menjadi tular selepas membaca perbincangan di media sosial.
“Saya bukan pengguna tegar media sosial. Selepas isu ini tular, barulah saya ambil tahu.
“Bila baca di Threads, barulah saya sedar banyak perbandingan dibuat antara saya dan dia,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






