Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Cubaan menyeludup petrol tumpas apabila seorang lelaki tempatan ditahan pasukan penguat kuasa dalam kejadian di Pangkalan Haram Yasin, Lubok Gong, Rantau Panjang, semalam.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pihaknya mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dalam keadaan mencurigakan memasuki kawasan pangkalan haram itu kira-kira jam 1.30 petang.
“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 53 tahun memandu kenderaan berkenaan dengan membawa lima tong berisi petrol dianggarkan sebanyak 65 liter yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan tersebut.
“Suspek gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen sah bagi memiliki barang kawalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita kenderaan terbabit bersama lima tong berisi petrol dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM15,251.55.
Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 10 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 21 akta yang sama kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran,” katanya.
IMedikel TV






