Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya melanggar sebuah lori dari arah belakang dalam kejadian di Tunjong, di sini pada jam 10.20 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian berlaku apabila sebuah lori Hicom yang dipandu lelaki berusia 30 tahun berhenti di lorong kanan untuk membelok.
“Secara tiba-tiba, kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 40 tahun bersama seorang penumpang berusia 10 tahun datang dari arah sama dari belakang lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia, manakala penumpang hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis turut menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu serta mematuhi undang-undang dan isyarat lalu lintas yang berkuat kuasa.
IMedikel TV






