Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 421 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Kelantan memperoleh gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, berbanding 444 orang pada 2024.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, daripada jumlah itu, seramai 11 calon mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran.
“Bagi calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 2,578 orang berbanding 2,545 orang pada 2024,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pengumuman Rasmi Keputusan SPM 2025 Kelantan di JPN Kelantan, di sini, hari ini.
Siti Norina berkata, calon sekolah kerajaan yang hadir adalah seramai 20,387 orang atau 98.08 peratus daripada 20,784 orang.
Selain itu, calon sekolah kerajaan yang layak dianugerahkan sijil SPM 2025 adalah seramai 19,727 orang atau 96.27 peratus berbanding 19,111 orang atau 95.99 peratus pada 2024.
“Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 616 orang.
“Bilangan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang menduduki peperiksaan adalah seramai 128 orang dan 99 orang layak mendapat sijil,” katanya.
Jelas beliau, JPN Kelantan sentiasa memberi tumpuan bagi merapatkan jurang antara sekolah di bandar dan luar bandar.
IMedikel TV





