Home Sukan BECKHAM SOKONG CARRICK JADI PENGURUS TETAP UNITED

BECKHAM SOKONG CARRICK JADI PENGURUS TETAP UNITED

92
0

LONDON: Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian Bintang legenda Manchester United, David Beckham berpendapat Michael Carrick wajar dilantik sebagai pengurus tetap kelab itu selepas mempamerkan impak positif sebagai pengendali sementara.

Beckham turut menghuraikan tujuh sebab mengapa beliau percaya Carrick layak menggalas tugas besar itu ketika ditemu bual oleh talkSPORT.

Menurut Beckham, sebab utama adalah pengalaman Carrick yang pernah membimbing Middlesbrough selama tiga musim sebelum kembali ke United sebagai pengurus sementara susulan pemecatan Ruben Amorim.

Carrick juga pernah mengemudi United secara sementara pada hujung 2021, apabila beliau mengendalikan tiga perlawanan dengan mencatat kemenangan ke atas Villarreal dan Arsenal serta seri menentang Chelsea.

Selain itu, Beckham menekankan ketenangan yang dibawa Carrick ke dalam pasukan, yang ketika ini berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).

Faktor ketiga adalah pemahaman mendalam Carrick terhadap kelab itu, memandangkan beliau beraksi selama 12 musim bersama United antara 2006 hingga 2018.

Beckham turut menyatakan Carrick memahami pemain serta falsafah permainan yang sepatutnya diamalkan Manchester United.

Sebagai sebahagian daripada skuad yang memenangi lima kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara 2008, Carrick memiliki pengalaman luas mengenai standard tinggi yang pernah dicapai kelab itu.

Beliau juga menimba ilmu daripada pengurus legenda, Alex Ferguson sepanjang tujuh musim bersama pengendali berkenaan.

Sebab keenam yang diketengahkan Beckham adalah sifat “elegan” yang dimiliki Carrick.

“Cara beliau membawa diri ada keanggunannya, sama ada ketika meraikan kemenangan atau meluahkan rasa marah. Semua itu penting bagi seorang pengurus,” katanya.

Akhir sekali, Beckham memuji keupayaan Carrick menyatukan pasukan.

“Cara beliau membentuk pasukan dan menyatukan pemain amat luar biasa. Sebagai penyokong United, itulah yang kami perlukan,” tegasnya.

Perpaduan dalam kem United dilihat semakin kukuh apabila Carrick merekodkan tujuh kemenangan dalam 10 perlawanan pertamanya, termasuk menewaskan Manchester City, pendahulu liga Arsenal dan pencabar tempat lima terbaik Aston Villa. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here