Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 55 tahun dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Bachok selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang wanita warga emas di Mukim Pauh Sembilan, di sini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.25 pagi pada 14 Mac lalu ketika mangsa pergi ke sebuah kedai runcit milik suspek.
“Suspek dipercayai telah memeluk mangsa sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap wanita berkenaan.
“Mangsa cuba melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum keluar dari premis dalam keadaan ketakutan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, susulan laporan polis yang dibuat, pihaknya berjaya menahan suspek pada 15 Mac lalu bagi membantu siasatan.
“Setelah siasatan selesai, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bachok pada 17 Mac (semalam) di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
“Tertuduh mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu bermula dari tarikh tangkap serta denda RM1,000,” katanya.
Menurut beliau, tertuduh telah menjelaskan denda berkenaan pada hari sama dan kini menjalani hukuman penjara bermula 15 Mac lalu.
IMedikel TV






