Home Luar Negara LEBIH 200 MAUT, 850 CEDERA DALAM KEMALANGAN KERETA API DI INDIA

LEBIH 200 MAUT, 850 CEDERA DALAM KEMALANGAN KERETA API DI INDIA

282
0

BALASORE: Sekurang-kurangnya 207 terbunuh, manakala lebih 850 lagi cedera dan ramai lagi dikhuatiri terperangkap dalam kemalangan ngeri membabitkan pelanggaran tiga kereta api pada lewat Jumaat di Odisha, negeri di timur India, kata pegawai tempatan.

Wartawan AFP di lokasi kejadian melihat bahagian kereta api yang hancur berlubang, yang berpintal dengan besi berlumuran darah berhampiran Balasore, kira-kira 200 kilometer (km) dari ibu negeri, Bhubaneswar.

Gerabak kenderaan berkenaan terbalik sepenuhnya dan pekerja penyelamat melakukan pencarian untuk mengeluarkan mangsa yang terselamat, namun terperangkap dalam serpihan kereta api, dengan puluhan mayat ditutup kain putih di sebelah landasan.

“Berdasarkan kiraan kami, seramai 207 maut dan jumlah korban masih akan meningkat.

“Kerja menyelamat masih dijalankan di lokasi dan akan mengambil masa beberapa jam lagi untuk diselesaikan,” kata ketua pengarah Perkhidmatan Bomba Odisha, Sudhanshu Sarangi kepada AFP di lokasi kemalangan.

Ketua Setiausaha Negara, Odisha Pradeep Jena mengesahkan, kira-kira 850 orang yang cedera dihantar ke hospital, dengan kerja menyelamat sedang dijalankan.

“Keutamaan kami kini adalah menyelamatkan (penumpang) dan memberikan sokongan kesihatan kepada mereka yang cedera,” katanya.

Pengarah eksekutif Indian Railways, Amitabh Sharma memberitahu AFP, dua kereta api penumpang yang sedang bergerak terbabit dalam kemalangan itu, manakala kereta api ketiga, iaitu kereta api barangan yang diparkir di lokasi, turut sama terbabit.

India tidak asing lagi dengan kemalangan kereta api dan pernah menyaksikan beberapa kejadian seumpamanya sebelum ini, namun skala nahas terbaharu itu mencetuskan kejutan.

Seorang mangsa yang terselamat memberitahu wartawan penyiaran tempatan, beliau sedang tidur ketika kemalangan itu berlaku dan tersedar selepas mendapati dirinya terperangkap di bawah sejumlah penumpang, sebelum merangkak keluar dari gerabak dengan kecederaan di leher dan lengan.

Sebuah stesen penyiaran menunjukkan imej grafik sebuah gerabak kereta api yang tumbang ke sebelah landasan, ketika penduduk cuba menarik mangsa ke tempat yang selamat.

Mangsa dibawa ke mana-mana hospital yang mempunyai tempat dengan menaiki ambulans dan bas.

“Kami menyediakan semua hospital besar kerajaan dan swasta dari lokasi kemalangan untuk menampung mereka yang cedera”, kata jurucakap di pejabat Jena, SK Panda.

Katanya, sebanyak 75 ambulans digerakkan ke lokasi kejadian, selain sejumlah bas untuk membawa penumpang yang cedera. 

Sumber BH Online & AFP

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here