Home Buletin Semasa POLIS KELANTAN RAMPAS ROKOK SELUDUP LEBIH RM2.6 JUTA DI DUA LOKASI BERASINGAN

POLIS KELANTAN RAMPAS ROKOK SELUDUP LEBIH RM2.6 JUTA DI DUA LOKASI BERASINGAN

115
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai lebih RM2.6 juta dalam dua operasi berasingan di Kuala Krai dan Tanah Merah pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam operasi pertama kira-kira jam 9.30 pagi, Pasukan Task Force menahan sebuah lori jenis Nissan UD bonded berwarna putih dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuala Krai–Gua Musang.

“Pemeriksaan terhadap lori tersebut dilakukan di hadapan Sekolah Kebangsaan Peria, Kilometer 15, Jalan Kuala Krai–Gua Musang.

“Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian muatan belakang lori menemukan longgokan kotak yang dibalut guni dipercayai mengandungi rokok tidak bercukai daripada pelbagai jenama,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Katanya, seorang pemandu lori berusia 50-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Rampasan bagi kes di Kuala Krai membabitkan 300 peti rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang dianggarkan mengandungi 3,056,000 batang rokok selain sebuah lori bonded seberat 6.5 tan.

“Keseluruhan rampasan bagi kes ini dianggarkan bernilai RM2,688,432,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan pada hari sama kira-kira jam 2 petang di Tanah Merah, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah.

Mohd Yusoff berkata, dalam serbuan itu polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyimpanan rokok tidak bercukai.

“Hasil pemeriksaan di sebuah stor di belakang rumah tersebut menemukan dua kotak rokok tidak bercukai jenama U2, selain sebuah telefon bimbit jenis Redmi dan sebuah iPhone yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut,” katanya.

“Nilai rampasan bagi kes di Tanah Merah dianggarkan RM7,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes bernilai RM2,695,432,”katanya.

Menurutnya, semua barang rampasan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan mengendalikan barangan tidak bercukai serta Seksyen 135(1)(d) akta sama kerana menyimpan atau memiliki barangan tidak berkastam atau larangan import.

“Polis Kelantan memandang serius kegiatan penyeludupan rokok yang bukan sahaja menyalahi undang-undang malah menyebabkan kerugian besar kepada hasil negara.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau penyimpanan barangan tidak bercukai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha pembanterasan jenayah berkenaan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here