Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan merekodkan tiga kes membabitkan wanita didakwa berkahwin dengan dua lelaki yang dilaporkan sejak tahun lalu hingga tahun ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata hasil siasatan awal mendapati terdapat kes membabitkan pasangan yang sedang melalui proses perceraian.
“Setakat ini kita merekodkan tiga kes, tidak banyak. Ada kes dilaporkan oleh suami sendiri termasuk di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu serta IPD Bachok.
“Bagaimanapun apabila siasatan dijalankan, ada antara pasangan sebenarnya berada dalam proses perceraian,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bakul Ramadan An’Nisa 60 Asnaf dan Ibu Tunggal, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, bagi kes seumpama itu, pihak polis akan menjalankan siasatan awal sebelum merujuk kepada pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk siasatan lanjut.
Katanya, perkara berkaitan status perkahwinan dan kesahihan lafaz cerai perlu diputuskan oleh mahkamah syariah sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil.
“Kadang-kadang dari segi lafaz sudah berlaku perceraian, tetapi dari segi hitam putih atau keputusan mahkamah belum ada lagi.
“Jadi perkara ini perlu dirujuk kepada pihak berkuasa agama bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
IMedikel TV






