KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City FC memastikan mereka terus berada dalam perebutan gelaran naib juara selepas menundukkan Melaka FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Memetik laporan Harian Metro, kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Risto Vidakovic menghuni tangga kedua liga dengan kelebihan dua mata mengatasi Kuching City FC dan tiga mata di depan Selangor FC, namun dua pencabar itu masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
KL City mengasak sebaik wisel permulaan dengan mencetuskan situasi kelam kabut dalam kotak penalti pada minit ke-15, namun percubaan Antonio Gomes mudah ditangkap penjaga gol Melaka, Samuel Somerville.
Somerville terus cemerlang menepis percubaan Paulo Josue pada minit ke-23 sebelum cubaan jarak jauh Ruiz yang cuba melakukan lambungan gagal menemui sasaran.
Melaka hampir mengejutkan tuan rumah pada minit ke-28 menerusi Do Donghyun yang melepaskan rembatan kencang, namun bola sekadar menggegar tiang sekali gus melegakan kem KL City.
Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan Kamal Azizi Zabri berjaya menewaskan Somerville untuk gol pembukaan pada minit ke-40.
Melaka bangkit mencari gol penyamaan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-85 menerusi tampanan Pak Kwang Il selepas menyambut hantaran Che Rashid Che Halim.
Namun kegembiraan pelawat tidak bertahan lama apabila KL City meledak gol kemenangan pada hujung permainan menerusi Safawi Rasid untuk memastikan tiga mata penuh kekal di laman sendiri.-HMetro Online-
IMedikel TV






