Home Hiburan PENGALAMAN HAMPIR BUTA BANTU TRACIE SINIDOL HAYATI WATAK RATNA

PENGALAMAN HAMPIR BUTA BANTU TRACIE SINIDOL HAYATI WATAK RATNA

KUALA LUMPUR: “Benda terakhir saya nampak adalah satu pancaran cahaya putih yang sangat terang.”

Demikian kongsi pelakon jelita, Tracie Sinidol, 25, yang mendedahkan pernah berdepan detik cemas apabila mata kirinya ‘buta sementara’ akibat terkena pukulan kuat bulu tangkis, dua tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Tracie yang juga juara Dewi Remaja 2022 berkata, insiden ketika bermain badminton itu hampir meragut penglihatannya sehingga dia diselubungi ketakutan memikirkan masa depannya.

“Saya sangat gementar sebab penglihatan mata kiri memang hilang sampaikan saya terfikir adakah saya akan benar-benar buta sebelah mata.

“Bila ke hospital, doktor sahkan ada kecederaan dan saya akan berdepan buta sementara waktu,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, siapa sangka pengalaman ngeri itu menjadi ‘senjata’ utama buat Tracie dalam menjiwai watak Ratna, seorang gadis cacat penglihatan dalam filem terbaharu, Malaikat Malam.

Ujarnya, tempoh seminggu proses penyembuhan itu mengajarnya erti syukur dan memahami keperitan hidup golongan kelainan upaya (OKU).

“Sepanjang proses nak sembuh, saya rasa sendiri bagaimana mereka yang kurang upaya lalui. Pengalaman itulah yang saya guna pakai untuk bawa karakter dalam filem ini,” katanya.

Bercerita mengenai karakter Ratna, Tracie mengakui tugasan kali ini cukup mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

Sebagai Ratna, dia tidak boleh melakukan hubungan mata (eye contact) dengan pelakon lain dan hanya bergantung sepenuhnya kepada deria pendengaran.

Selain Tracie, filem arahan Nazifdin Nasrudin ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Que Haidar, Amir Nafis dan Kodi Rasheed.

Malaikat Malam terbitan Viper Studios dengan kerjasama Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios bakal ditayangkan di pawagam tanah air bermula 26 Mac ini. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here