KUALA KRAI: Seorang doktor pelatih wanita ditemui meninggal dunia di salah sebuah asrama di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada pihak hospital kira-kira jam 9.55 pagi.
“Sebaik menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bersama anggota Balai Polis Kuala Krai bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di salah sebuah bilik asrama di hospital berkenaan.
“Mangsa adalah seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemui meninggal dunia di dalam asrama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mazlan berkata, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat tekanan pada leher dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Kuala Krai di talian 09-9666222 bagi membantu siasatan.
IMedikel TV






