TEHRAN: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata, hanya penyerahan tanpa syarat Tehran akan menamatkan perang Timur Tengah.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, ketika Israel memperhebatkan serangan udaranya ke atas Lubnan dan mengumumkan serangan “berskala luas” ke atas Tehran, tentera AS berkata, ia menyerang lebih daripada 3,000 sasaran semasa minggu pertama perang AS-Israel ke atas Iran.
Konflik itu sudah membabitkan negara-negara di luar rantau ini, mengganggu sektor tenaga dan pengangkutan dunia, dan membawa huru-hara ke kawasan yang biasanya aman di sekitar Teluk.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres merayu untuk “rundingan diplomatik yang serius” dan memberi amaran tentang “situasi yang boleh meletup di luar kawalan sesiapa pun.”
Presiden Rusia Vladimir Putin menyuarakan sokongan untuk gencatan senjata “segera” di Iran semasa panggilan telefon dengan rakan sejawatnya di Iran, Masoud Pezeshkian pada Jumaat, kata Kremlin.
Trump, yang memberikan pelbagai alasan untuk memulakan perang seminggu yang lalu, berkata di Truth Social, “tidak akan ada perjanjian dengan Iran kecuali PENYERAHAN TANPA SYARAT.”
Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt berkata, apabila presiden memutuskan bahawa Iran tidak lagi menjadi ancaman kepada AS dan matlamat operasi itu direalisasikan, “Iran pada dasarnya akan berada dalam keadaan penyerahan tanpa syarat, sama ada mereka sendiri mengatakannya atau tidak.”
Trump juga berjanji untuk membantu membina semula ekonomi negara itu jika Tehran melantik seseorang yang “diterima” olehnya untuk menggantikan pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh hujung minggu lalu.
Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) yang bertanggungjawab ke atas pasukan AS di Timur Tengah berkata, lebih 3,000 sasaran Iran diserang, termasuk pusat arahan dan kawalan, sistem pertahanan udara, tapak peluru berpandu, dan kapal tentera laut serta kapal selam.
Israel pula menyerang pinggir bandar selatan Beirut, tempat kumpulan kumpulan disokong Iran, Hizbullah, berkubu, dan kementerian kesihatan Lubnan berkata, jumlah kematian meningkat kepada 217.
Israel juga melakukan serangan ke atas Nabi Sheet di daerah Baalbek di timur Lubnan yang menurut kementerian itu membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang.
Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, memberi amaran bahawa “bencana kemanusiaan sedang berlaku”, dan Majlis Pelarian Norway berkata, 300,000 orang di negara itu terpaksa melarikan diri. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






