DORTMUND: Sasaran Manchester United, Karim Adeyemi, dipercayai sedang menunggu peluang untuk berpindah ke Liga Perdana Inggeris walaupun kelabnya, Borussia Dortmund, membuat beberapa percubaan untuk menawarkannya kontrak yang lebih lumayan.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, pemain berusia 24 tahun itu masih terikat kontrak di Signal Iduna Park sehingga tahun 2027, selepas menandatanganinya dari Red Bull Salzburg tiga musim lalu, tetapi berjaya menarik minat dari seluruh Eropah, termasuk United.
Menurut media Jerman, Bild, Dortmund dikatakan yakin bahawa pemain itu penting dalam rancangan masa depan mereka, dengan tawaran syarat kontrak baharu sudah tersedia sejak beberapa minggu lalu.
Walau bagaimanapun, Adeyemi dipercayai bersikap ragu-ragu dan tidak menunjukkan minat untuk menandatangani perjanjian itu sambil menunggu pembida berpotensi dari Liga Perdana Inggeris pada musim panas.
Pihak-pihak yang berminat untuk memikat Adeyemi keluar dari Dortmund mungkin menghadapi halangan, kerana kontrak pemain itu dipercayai tidak mengandungi klausa pelepasan.
Ejennya, Jorge Mendes – yang juga mewakili Cristiano Ronaldo – dipercayai berhasrat untuk memasukkan klausa berkenaan dalam kontrak baharu, yang seterusnya akan membolehkan Adeyemi berpindah dengan lebih mudah pada masa akan datang.
Adeyemi sedang menghadapi tempoh sukar di atas padang semasa menunggu penyelesaian isu kontraknya, apabila hanya menjaringkan dua gol sejak awal tahun.
Tahun 2025 juga berakhir dalam keadaan tegang, dengan Adeyemi ditegur oleh bekas pemain antarabangsa Jerman, Sami Khedira, di atas tingkah lakunya yang terus menuju ke bilik persalinan apabila digantikan oleh pengendali.
Adeyemi dikeluarkan oleh Niko Kovac pada minit ke-60 semasa kemenangan 2-0 ke atas Borussia Monchengladbach dalam saingan Bundesliga.
Tidak puas hati dengan tindakan itu, Adeyemi berjalan melepasi bangku simpanan Dortmund dan terus menuju ke bilik persalinan.
Mengulas tindakan Adeyemi, Khedira berkata pemain itu bersikap ‘tidak menghormati’ rakan sepasukan Dortmund serta Kovac.
“Anda boleh marah kepada jurulatih, tetapi anda harus menyokong pasukan, rakan sepasukan.
“Kerana merekalah yang berada di atas padang dan mereka akan perasan perkara seperti itu,” kata Khedira.
Sebelum ini situasi tegang antara Adeyemi dan Kovac apabila pemain itu membaling botol air ke arah bangku simpanan sebaik dia dikeluarkan oleh pengendali itu. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






