Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah vesel tunda dalam satu operasi penguatkuasaan maritim di perairan Miri, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad dalam kenyataan semalam memaklumkan, tangkapan dilakukan kira-kira jam 2.30 petang pada kedudukan lebih kurang 2.4 batu nautika barat Sungai Miri.

“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tunda terbabit melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana gagal mengemukakan dokumen berkaitan stabiliti kapal semasa pemeriksaan dijalankan,” jelas beliau.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu dikendalikan seorang nakhoda bersama lapan kru, kesemuanya warga Indonesia masing-masing berusia antara 25 hingga 58 tahun,”katanya.
Beliau berkata vesel tersebut kemudiannya diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel dan tiba kira-kira pada pukul 4.00 petang dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Pemilik dan pengendali vesel diingatkan supaya memastikan semua dokumen berkaitan kapal sentiasa lengkap dan sah sebelum beroperasi.
“Kegagalan mematuhi keperluan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan pelayaran serta nyawa kru,”jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di laut boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Miri melalui talian 085-649111 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak melalui talian 082-432544 / 082 432016 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
IMedikel TV






