KUALA LUMPUR: “Bertudung bukan sebab orang lain, tetapi sebab hati.” Demikian kapsyen yang ditulis oleh penerbit Datuk A Aida bersama hantaran gambarnya yang kini bertudung.
Memetik laporan Harian Metro, hantaran yang dibuat pada 12 Ramadan (semalam) disambut dengan komen positif Dekan Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, yang juga rakan baiknya.
“Alhamdulillah syukur Allah,” tulisnya yang disertakan emoji gembira.
A Aida kemudian membalas mesej,”janji dengan ustaz asyik bermain di fikiran after (selepas) kembali sedar dari ICU (unit rawatan rapi). Tq ustaz… moga Allah pelihara kita semua.”
Perubahan imej A Aida turut mendapat pujian daripada rakan-rakan artis antaranya Zoey Rahman, Rozita Che Wan, Lisdawati, Salwa Abdul Rahman, Farahdhiya dan ramai lagi.
Tidak terkecuali memuji penampilan terbaru A Aida ialah Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Rata-rata mereka melahirkan kesyukuran dan ada yang mendoakan A Aida kekal istiqamah dengan keputusan bertudung ini.
Terdahulu, pada Oktober tahun lalu, A Aida, 56, dimasukkan ke ICU sebuah pusat perubatan akibat rebah selepas menjalani rawatan fisioterapi di situ.
Difahamkan, sebelum itu dia menjalani pembedahan lutut dengan memasukkan gel di pusat perubatan terbabit. – HMetro Online –
IMedikel TV






