Home Hiburan LINDA RAFAR AJAR ANAK PUASA SEJAK USIA 4 TAHUN

LINDA RAFAR AJAR ANAK PUASA SEJAK USIA 4 TAHUN

152
0

PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon, Linda Rafar menyifatkan pendekatan digunakannya dan suami dalam mendidik anak-anak menjalani ibadat puasa sebagai suatu proses pembelajaran yang bermakna dan penuh disiplin.

Memetik laporan Berita Harian, Linda, atau nama sebenar, Azlinda Abdul Rafar, 47, berkata semua anaknya diwajibkan berpuasa penuh sepanjang Ramadan sejak berusia empat tahun, selain menekankan sunat bangun sahur.

“Pada Ramadan, saya memang suruh anak-anak belajar berpuasa. Bersahur memang kena dan sepanjang Ramadan, kami sentiasa berbuka dan bersahur bersama-sama.

“Anak-anak mula berpuasa sejak usia empat tahun dan tiada yang terkecuali. Tidak ada puasa separuh hari, semuanya dididik untuk menunaikan puasa penuh dari sahur hingga berbuka ketika azan Maghrib berkumandang,” katanya ketika ditemui pada majlis iftar di sini, baru-baru ini.

Sikap konsisten ini, menurut Linda, adalah hasil daripada disiplin yang diterapkan secara berperingkat serta bimbingan yang penuh kesabaran.

Linda berkata, jika anak-anak berasa haus atau keletihan, dia akan menasihati mereka berehat seketika atau mandi bagi menenangkan diri dan menguatkan tenaga.

“Apabila saya ingat semula, saya sendiri pun macam tidak sangka mereka boleh berpuasa penuh sejak kecil sebab mereka okay sahaja.

“Saya tegas dengan anak-anak. Jika saya nampak mereka haus, saya suruh mereka tidur atau mandi. Lama-kelamaan, ia menjadi kebiasaan dan mereka tahu bagaimana untuk menguruskan diri sendiri,” katanya.

Selain menekankan kepentingan bersahur dan berbuka bersama, Linda juga memastikan amalan solat tarawih berjemaah menjadi sebahagian daripada rutin keluarga.

“Solat tarawih berjemaah memang wajib bagi kami. Sembahyang berjemaah sebenarnya memang sudah menjadi rutin tetap keluarga kami,” katanya.

Mengulas tip menjaga keharmonian keluarga, Linda berkata, setiap rumah tangga pasti menghadapi cabaran dan dugaan. Namun, apa yang penting adalah cara setiap anggota keluarga itu menangani situasi berkenaan.

Linda menegaskan bahawa komunikasi terbuka antara suami, isteri dan anak-anak adalah kunci untuk memastikan keharmonian terpelihara.

“Setiap rumah tangga memang akan ada dugaan. Apa yang penting, kalau ada masalah, cepat-cepat selesaikan.

“Kalau boleh, semua anggota tidak kira sebagai ayah, emak mahupun anak, kena sentiasa berterus terang dan sentiasa kena berbincang.

“Sebab kita tidak boleh kata keharmonian itu datang sendiri. Sebaliknya, kita sendiri yang kena cipta keharmonian itu ikut cara kita,” katanya.

Linda dan Syed Aiman berkahwin pada 2 Disember 2006, namun, bercerai pada September 2015.

Namun, beberapa minggu kemudian, pasangan itu membuat keputusan untuk rujuk dan hidup bahagia sehingga kini. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Syed Rezaqiib, 17, Syed Rezariiq, 15, Syed Rezaliif, 11. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here