Home Buletin Semasa LEBIH 84,000 PESAKIT TELAH DIBANTU MENERUSI TABUNG BANTUAN PERUBATAN 

LEBIH 84,000 PESAKIT TELAH DIBANTU MENERUSI TABUNG BANTUAN PERUBATAN 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Lebih 84,000 pesakit di seluruh negara telah dibantu menerusi Tabung Bantuan Perubatan (TBP) membabitkan peruntukan keseluruhan melebihi RM788 juta sejak 2005.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan amat prihatin terhadap beban kewangan pesakit, khususnya bagi rawatan jangka panjang. 

“Justeru, TBP kekal sebagai instrumen sokongan kritikal KKM demi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada akses rawatan hanya kerana kekangan kewangan.

“Bagi tahun 2025 di peringkat nasional, sebanyak 3,884 permohonan diluluskan melibatkan peruntukan berjumlah RM58.6 juta,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan TBP dan bakul makanan kepada asnaf pada Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)-Majlis Iftar Perdana di Masjid Al Husna, Kampung Baung Bayam, di sini malam tadi.

Katanya di peringkat negeri pula, Kelantan merekodkan 345 kelulusan dengan jumlah keseluruhan RM4.66 juta, sekali gus meletakkan negeri itu di tangga kelima tertinggi di Malaysia.

“Daripada jumlah tersebut, Hospital Raja Perempuan Zainab II mencatatkan kelulusan tertinggi di Kelantan dengan 296 kes membabitkan peruntukan sebanyak RM3.13 juta,”katanya.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here