Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada sebarang kes keracunan makanan melibatkan Bazar Ramadan direkodkan di seluruh negara setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga kini pemantauan yang dijalankan mendapati tahap pematuhan pengendali makanan di bazar Ramadan adalah sangat baik.
“Alhamdulillah, sehingga semalam 28 Februari, tiada episod keracunan makanan yang direkodkan membabitkan Bazar Ramadan pada kali ini
“Secara keseluruhan KKM merekodkan 12 aduan berkaitan bazar Ramadan di seluruh negara, termasuk empat aduan yang diterima melalui aplikasi WhatsApp membabitkan isu kebersihan makanan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Siri Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (AMNS)-Majlis Iftar Perdana Masjid Al Husna di Dewan Terbuka Masjid Al Husna, Kampung Baung Bayam, di sini, malam tadi.
Namun beliau berkata untuk negeri Kelantan, tiada sebarang aduan diterima setakat ini dan tiada kompaun dikeluarkan.
“Pematuhan sangat baik dan kita harap ia berterusan sehingga ke penghujung Ramadan,” katanya.
Dalam perkembangan terkini penyakit tuberkulosis atau tibi, Dr Dzulkefly berkata bagi Minggu Epidemiologi ke-7 (ME-7/2026) tahun ini, sebanyak 417 kes dilaporkan berbanding 482 kes bagi tempoh sama tahun lalu, menunjukkan penurunan sebanyak 65 kes.
“Tiada kluster baharu direkodkan setakat ini dan semua kluster sedia ada kekal seperti dilaporkan sebelum ini,”katanya.
IMedikel TV






