Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan tikaman di tepi Jalan Lama, Lojing, Pos Brooke, awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Azlan Che Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.35 pagi Sabtu memaklumkan penemuan mayat berkenaan.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa, seorang lelaki yang identitinya belum dikenal pasti dan dianggarkan berusia lingkungan 30-an.
“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring tidak bernyawa dengan kesan tusukan objek di bahagian dada kiri,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian
Menurutnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.
“Usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222.
IMedikel TV






