Home Buletin Semasa WARGA EMAS GEMBIRA, PERTAMA KALI BERBUKA DI HOTEL

WARGA EMAS GEMBIRA, PERTAMA KALI BERBUKA DI HOTEL

140
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Selama hidupnya, seorang warga emas tidak pernah mengimpikan untuk berbuka puasa di luar lebih-lebih lagi di sebuah hotel.

Malam tadi, pengalaman itu cukup bermakna dapat dirasai Ahmad Hamid, 59, dari Kampung Gong Datuk, Pasir Puteh apabila dapat menikmati pelbagai juadah semasa berbuka.

“Biasanya di rumah saya hanya makan nasi berlaukkan ikan dan kuih yang dimasak oleh isteri, Che Ana Che Mansor, 52.

“Namun malam ini (malam tadi) saya berpeluang untuk berbuka puasa bersama asnaf dan anak yatim.

“Saya suka dapat makan di sini,”katanya ketika ditemui pemberita.

Bapa kepada lapan orang anak itu bekerja mengambil upah memotong rumput di rumah Pengasas Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husin.

Katanya tujuh daripada lapan anaknya yang berusia antara 15 hingga 36 tahun adalah orang kurang upaya (OKU) dalam kategori lembam.

“Anak saya ada lapan orang tetapi dua orang dijaga oleh dua keluarga sejak mereka berumur enam tahun,”katanya.

Sementara itu , Raja Shamri berkata program itu diadakan untuk meraikan golongan asnaf dan anak yatim, termasuk dari Maahad Tahfiz Darul Riyad.

“Antara yang diraikan ialah pelajar pondok tahfiz yang pernah dibantu yayasan, termasuk seorang bekas pelajar asnaf yang menghidap kanser tulang dan pernah dijaga sebelum meninggal dunia.

“Kita panggil semua pelajar pondok tahfiz datang menerima zakat seramai 30 orang dan hari ini (malam tadi) kita juga raikan asnaf yang tidak pernah menjejakkan kaki ke hotel sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, idea program itu tercetus agar golongan asnaf dapat merasai suasana berbuka puasa dalam keadaan berbeza, sekali gus memberi pengalaman baharu dan kegembiraan kepada mereka.

“Sepanjang dua minggu pertama Ramadan, yayasan sudah melaksanakan program Pek Ramadan, mengagihkan bantuan makanan kepada golongan miskin,”katanya.

Katanya selain Pek Ramadan, yayasan itu turut melaksanakan Pek Syawal, menyediakan biskut dan kelengkapan raya untuk golongan memerlukan.

“Tahun ini, kami bekerjasama dengan Kolej Komuniti Jeli bagi penyediaan biskut raya pada harga minimum untuk diagihkan kepada penerima.

“Setakat ini, yayasan menyasarkan kira-kira 1,200 penerima bantuan sepanjang Ramadan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Perak,”katanya.

Raja Shamri berkata pihaknya menyasarkan kira-kira RM100,000 sumbangan sepanjang bulan Ramadan dan dijangka meningkat sehingga RM120,000 bergantung kepada sumbangan orang ramai.

“Golongan miskin ini ramai, kita tidak mampu bantu semua, tetapi dengan sokongan penyumbang dan doa mereka yang menerima, kita harap usaha ini berterusan,” katanya.

Raja Shamri turut menegaskan, yayasan itu berdaftar sebagai amil zakat dan mempunyai pelepasan cukai, sekali gus memberi keyakinan kepada orang ramai untuk terus menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here