Home Buletin Semasa LEBIH 71KG MAKANAN  DISELAMATKAN HARI PERTAMA MY SAVE FOOD@RAMADAN 2026

LEBIH 71KG MAKANAN  DISELAMATKAN HARI PERTAMA MY SAVE FOOD@RAMADAN 2026

373
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Ketika bazar Ramadan dipenuhi pengunjung yang mencari juadah berbuka, sekumpulan sukarelawan pula komited memastikan lebihan makanan tidak berakhir sebagai sisa.

Ketua Operasi Zon Timur MySaveFood Ramadan 2026 Negeri Kelantan, Mohammad Sharul Iman Saebon berkata, sebanyak 71.53 kilogram (kg) makanan berjaya diselamatkan pada hari pertama pelaksanaan Projek MySaveFood @Ramadhan 2026 peringkat negeri Kelantan di Bazaar Ramadan Rahmah, Mydin Tunjong, semalam.

Mohammad Sharul Iman berkata, inisiatif yang digerakkan setiap kali Ramadan sejak 2021 itu bertujuan mengurangkan pembaziran makanan selain membantu golongan memerlukan.

“Untuk semalam kita berjaya selamatkan sebanyak 71.53kg makanan bersamaan RM1,300 dengan purata penerima manfaat kira-kira 100 orang.

“Fokus utama projek ini adalah untuk memberi pendidikan kepada peniaga itu sendiri bagi mengelakkan pembaziran makanan dan minuman yang tidak habis dijual.

“Biasanya makanan dan minuman yang tidak habis dijual dibuang dan itu adalah pembaziran yang jelas,”katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV, di sini, hari ini.

Katanya program itu bukan sekadar menyelamatkan lebihan makanan daripada dibuang, tetapi memastikan ia diagihkan semula kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia Cawangan Negeri Kelantan berkata, proses saringan makanan perlu dilakukan sebelum diagihkan kepada penerima manfaat.  

“Kami akan tempatkan kira-kira 10 sukarelawan untuk projek ini. Mereka akan memeriksa tahap keselamatan makanan tersebut terlebih dahulu dan akan pek semula makanan tersebut beserta Kod QR.

“Kod QR ini bertujuan untuk penerima manfaat imbas dan memberi maklum balas terhadap makanan yang diterima,”katanya.

Tambahnya penerima manfaat daripada program itu termasuk golongan asnaf, pelajar, masjid dan gelandangan.

Katanya hampir 100 sukarewalan terbabit dalam program ini termasuk Gerakan Pengguna Siswa di  lima Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kelantan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa dan Politeknik Kota Bharu.

Beliau berkata selain Mydin Tunjong, operasi turut dijalankan di beberapa lokasi lain termasuk Bazar Ramadan Kok Lanas, Stadium Muhammad IV, Taman Bendahara, KB Mall, Lembah Sireh, Lundang dan Berek 12.

Program yang bermula semalam itu dijadualkan berlangsung sehingga 14 Mac depan dengan penutup operasi di Bazar Ramadan Stadium Muhammad IV.

Dengan slogan “Hargai Makanan, Elakkan Pembaziran”, projek berkenaan diharap dapat menyemai kesedaran dalam kalangan peniaga dan pengunjung bazar agar lebih berhemah dalam penyediaan serta pembelian makanan sepanjang Ramadan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here