Home Buletin Semasa TIGA BERADIK HIDAP SMA TERIMA SUMBANGAN BAJU RAYA

TIGA BERADIK HIDAP SMA TERIMA SUMBANGAN BAJU RAYA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sepasang suami isteri tidak dapat menyembunyikan rasa syukur apabila tiga anak mereka yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) menerima sumbangan baju raya di sini, hari ini.

Mohamad Safuan Abdullah, 41, dan isteri, Nurul Amirah Mohamad Napi, 42, berkata tiga cahaya mata mereka iaitu Nurul Amanda, 12, Mohamad Syahmi, 9, dan Nurul Ariana, 7, masing-masing disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak kecil.

Menurutnya, anak sulungnya, Nurul Amanda kini perlu memakai alat penyokong tulang belakang (brace) sejak hujung tahun lalu berikutan keadaan tulang belakang yang semakin membengkok.

“Buat masa ini doktor nasihatkan supaya Nurul Amanda memakai brace sebagai langkah mengurangkan tulang belakang semakin membengkok. 

“Dia akan pakai alat itu sebelum menjalani pembedahan memasukkan skru bagi membetulkan kedudukan tulang belakangnya.

“Dia perlu memakai brace setiap masa kecuali waktu mandi dan makan,” katanya ketika ditemui pada Program Beli Baju Raya 40 Anak Yatim dan Asnaf di Mydin Tunjong, di sini.

Manakala anak keduanya, Mohamad Syahmim kini turut menggunakan mesin bipap semasa tidur bagi membantu pernafasan.

“Doktor sarankan Mohamad Syahmim menggunakan mesin bipap ketika tidur sebab ototnya juga semakin lemah,”katanya.

Suaminya, Mohamad Safuan Abdullah, 40, pula meluahkan rasa syukur atas keprihatinan pihak yang tampil membantu menyediakan kelengkapan Aidilfitri buat anak-anak mereka.

“Syukur alhamdulillah ada yang sudi membantu membelikan pakaian raya untuk anak-anak saya. Terima kasih kepada The 3rd Force Pasir Mas dan Yayasan Raja Shamri.

“Alhamdulillah, ia mengurangkan beban saya untuk membeli baju kepada mereka. Untuk saya dan isteri tidak mengapa yang penting anak-anak dahulu. Asalkan mereka gembira, itu sudah cukup,” katanya.

Beliau berkata, persiapan Ramadan keluarga mereka dibuat secara sederhana.

“Persiapan puasa biasa-biasa sahaja, ala kadar. Tiada beli lebih-lebih, makan apa yang ada sahaja. Kakak dan abang sudah berpuasa, manakala adik baru belajar hendak berpuasa. InsyaAllah kita ajar supaya dapat berpuasa penuh,” katanya.

Tiga beradik itu antara 40 anak yatim dan asnaf dari Pasir Mas yang menerima sepasang baju raya lengkap menerusi program berkenaan.

Sementara itu, Pengasas Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri  Raja Husin berkata, sebanyak RM10,000 diperuntukkan bagi menjayakan program pada hari ini.

“Seramai 40 anak yatim dan asnaf menerima satu set pakaian raya. Semoga dengan bantuan ini dapat menggembirakan hati mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut melancarkan Program Pek Ramadan dan Syawal yang kini memasuki tahun ke-10 pelaksanaannya di seluruh negara, menyasarkan golongan asnaf dan kurang berkemampuan.

“Tahun lalu sebanyak 1,200 pek diagihkan dan tahun ini kita sasarkan jumlah sama, bergantung kepada sumbangan orang ramai. Jika sumbangan lebih banyak, kita akan tambah penerima,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pasar raya Mydin serta semua penyumbang dan rakan media termasuk IMedikel TV atas sokongan berterusan terhadap program kebajikan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here