BREMEN: Harry Kane mencipta sejarah peribadi apabila menjaringkan gol ke-500 karier seniornya ketika Bayern Munich menewaskan Werder Bremen 3-0 dalam aksi Bundesliga.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, penyerang England itu meledak dua gol dalam tempoh tiga minit pada separuh masa pertama untuk membawa jumlah jaringan liga musim ini kepada 26 gol dan 41 dalam semua pertandingan.
Gol pertama hadir menerusi sepakan penalti pada minit ke-22 selepas pengadil merujuk VAR dan mendapati Lennart Karl dijatuhkan Senne Lynen di dalam kotak penalti.
Kane tenang menyempurnakan sepakan itu – gol ke-100 beliau dari titik penalti – sebelum menambah jaringan kedua tiga minit kemudian hasil gerakan pantas dimulakan Leon Goretzka yang memenangi bola tinggi di atas padang. Hantaran Luis Diaz disudahkan Kane dengan rembatan rendah dari luar kotak penalti.
Ia juga jaringan ketujuh Kane dalam lima perlawanan berturut-turut, sekali gus mengesahkan sentuhan berbisa beliau.
Bayern memastikan kemenangan pada minit ke-70 apabila Jamal Musiala bergandingan dengan Alphonso Davies sebelum Goretzka meledak gol ketiga ke penjuru atas.
Skuad kendalian Vincent Kompany kini mengumpul 57 mata, enam mata mengatasi Borussia Dortmund di tangga kedua.
Werder Bremen pula terus bergelut tanpa kemenangan dalam 12 perlawanan liga dan kini di tangga ke-16 dengan 19 mata daripada 22 perlawanan. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






