Home Buletin Semasa HAMPIR 1 JUTA KENDERAAN DIJANGKA MASUK KELANTAN SEMPENA TAHUN BAHARU CINA, AWAL...

HAMPIR 1 JUTA KENDERAAN DIJANGKA MASUK KELANTAN SEMPENA TAHUN BAHARU CINA, AWAL RAMADAN

210
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Hampir satu juta kenderaan dijangka memasuki Kelantan sempana cuti Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan trend tahun lalu yang menunjukkan rakyat Kelantan akan pulang ke kampung menyambut Ramadan bersama keluarga.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, orang Kelantan memang gemar menyambut puasa bersama keluarga.

“Tahun ini pula kebetulan ia bersekali dengan Tahun Baharu Cina, jadi kita jangka kemasukan ke Kelantan akan meningkat hampir satu juta,” katanya

Sehubungan itu, polis akan melancarkan Op Selamat bermula Ahad hingga Jumaat depan bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh berkenaan.

“Penugasan anggota akan dipertingkatkan khususnya di kawasan Gua Musang termasuk laluan Kuala Krai-Gua Musang yang kini sedang dalam pembinaan.

“Kita akan tempatkan lebih ramai anggota di kawasan berkenaan untuk mengawal lalu lintas, terutama di lokasi yang terbabit dengan kerja pembinaan bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Katanya pencapaian Op Selamat Tahun Baharu Cina yang lalu menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan bagi Kontinjen Kelantan.

Beliau berkata berdasarkan statistik rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya telah berjaya dikurangkan daripada 252 kes kepada 228 kes, iaitu penurunan sebanyak 10 peratus.

“Lebih membanggakan, kemalangan maut menurun daripada 8 kes kepada hanya 3 kes, bersamaan penurunan 63 peratus, manakala jumlah kematian juga berkurang 50 peratus, daripada 8 kematian kepada 4 kematian.

“Selain itu, tiada kemalangan parah dan tiada kecederaan parah direkodkan sepanjang operasi tersebut, berbanding satu kes masing-masing pada operasi terdahulu, sementara kes kemalangan ringan serta kecederaan ringan turut menunjukkan penurunan yang ketara,”katanya.

Beliau berkata pencapaian itu jelas mencerminkan keberkesanan perancangan, komitmen serta kehadiran proaktif pegawai dan anggota di lapangan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here