Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah merobohkan sebanyak 62 pangkalan haram berstruktur di sempadan Kelantan-Thailand setakat semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, terdapat 223 pangkalan haram di sempadan, 96 daripada itu berstruktur dan bakinya tidak berstruktur.
“Terdapat 223 pangkalan haram di sempadan, 216 daripada itu di tanah kerajaan manakala baki tujuh lagi di tanah persendirian.
“Daripada jumlah itu sebanyak 120 yang tidak berstruktur manakala 96 lagi berstruktur.
“Jadi kita lakukan perobohan pangkalan haram di tanah kerajaan terlebih dahulu,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Katanya operasi akan diteruskan sehingga semua baki pangkalan haram terbabit dirobohkan sepenuhnya.
“Kita jangka baki tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu kerana semua jentera telah disewa dan digerakkan termasuk operasi melalui laluan air,”katanya.
Beliau berkata ketika ini hanya kawasan Tumpat masih berbaki untuk tindakan lanjut manakala daerah lain telah selesai dilaksanakan.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff menegaskan pihaknya sentiasa memantau sebarang cubaan untuk membina semula pangkalan haram yang dirobohkan.
“Setakat ini belum ada maklumat mengenai pembinaan semula. Bagaimanapun, jika ada cubaan untuk mendirikan kembali struktur berkenaan, kita akan ambil tindakan segera dan merobohkannya,” katanya.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan isu pangkalan haram dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.
IMedikel TV






