Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberikan potongan bayaran tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, membabitkan kesan kewangan dianggarkan RM19.5 juta bagi pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet sebagai sebahagian usaha kerajaan menjaga kesejahteraan rakyat serta memperkukuh perpaduan merentasi kepelbagaian agama dan kaum di negara ini.
“Inisiatif berkenaan diharap dapat meringankan beban kos perjalanan rakyat yang merancang pulang ke kampung halaman bagi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga atau bercuti menjelang Ramadan.
“Pelaksanaan diskaun akan bermula pada 12.01 tengah malam 14 Februari dan berakhir pada 11.59 malam 15 Februari,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, diskaun tersebut membabitkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, katanya, inisiatif itu dikecualikan di plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pemilihan tarikh pelaksanaan dibuat bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari puncak perjalanan selain memastikan pengoperasian serta penyelarasan logistik tambahan di kawasan hentian sebelah dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dapat dioptimumkan.
“Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan teliti bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta memanfaatkan sepenuhnya pengurangan kadar tol berkenaan,”katanya.
Beliau berkata pengguna juga disaran memuat turun aplikasi MyPLUSTTA dan TuJu Highway Navigation App Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mendapatkan cadangan jadual perjalanan yang lebih selamat dan selesa.
“Selain itu, pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mematuhi papan tanda, had laju serta maklumat yang dipaparkan menerusi Variable Message System (VMS), termasuk mematuhi peraturan penggunaan lorong Smart Lane,”katanya.
Orang ramai turut disarankan menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden melalui saluran rasmi LLM di Facebook, X, TikTok atau dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752, selain melayari laman sesawang rasmi LLM bagi paparan CCTV dan WhatsApp Channel LLM Info Trafik.
IMedikel TV






