Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TANAH MERAH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan merekodkan sembilan kes penyakit tibi melibatkan tiga kluster di negeri ini sejak Disember tahun lalu.
Pengarah JKN Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, dua kluster dikenal pasti di Kota Bharu iaitu di Guchil Bayam dengan dua kes dan Kampung Padang Salim melibatkan tiga kes, manakala satu lagi kluster direkodkan di Melawi, Bachok dengan empat kes.

“Penyakit tibi atau Tuberkulosis mempunyai tempoh jangkitan yang panjang dan tidak menjangkiti secara serta-merta melalui pertemuan singkat.
“Penyakit ini boleh berjangkit sekiranya berlaku kontak rapat yang berpanjangan, seperti dalam kalangan ahli keluarga atau rakan sekerja, ia bukan bermakna bertemu pesakit hari ini, esok terus dijangkiti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Outreach Literasi Kesihatan Diabetes peringkat Daerah Tanah Merah di Masjid Mukim Batu 11, di sini, hari ini.
Dr Mohd Azman berkata pihak JKN Kelantan menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas ahli keluarga pesakit, termasuk ujian kahak dan saringan kesihatan bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada individu lain.
Beliau berkata, kes tersebut berpunca daripada komuniti tempatan, dan langkah pencegahan turut dilaksanakan terutama di asrama sekolah dan kawasan berisiko.
Tambahnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 16 kes tibi direkodkan melibatkan 45 pesakit di negeri ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mengalami batuk berpanjangan, demam berpanjangan terutama waktu petang, penurunan berat badan serta hilang selera makan supaya segera mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran.
IMedikel TV






