Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) dengan kerjasama Masjid Imanul Fa’izin, Padang Kala, Melor, di sini, menganjurkan program bertemakan “Apabila Langit Bertasbih” menerusi penghayatan ‘7 Surah Musabbihat: Bicara Allah Kepada Wanita”, hari ini.
Pengarah program, Zaharah Che Isa, berkata program berkenaan pada awalnya menyasarkan penyertaan seramai 150 peserta, namun sambutan amat menggalakkan apabila kehadiran mencecah lebih 200 orang yang terdiri daripada ahli dan bukan ahli PRNNK, merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.

Program separuh hari yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu memberi tumpuan kepada pengisian pentadabburan al-Quran sebagai persiapan rohani menjelang ketibaan Ramadan, khususnya dalam menyucikan jiwa dan meningkatkan kefahaman terhadap ayat-ayat tasbih.
Menurutnya objektif utama penganjuran program itu adalah untuk menyediakan landasan awal kepada umat Islam, khususnya golongan wanita, agar lebih bersedia dari segi rohani dan amalan sebelum memasuki bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Surah-surah Musabbihat yang bermula dengan tasbih mengajar kita untuk menyucikan hati dan jiwa.
“Apabila jiwa bersih, barulah amalan sepanjang Ramadan nanti dapat dilakukan dengan lebih khusyuk dan berkesan,” katanya.
Program pentadabburan itu dikendalikan oleh Noriah Mohamed yang membimbing peserta menghayati tujuh surah terpilih antaranya Surah al-Isra’, al-Hadid, al-Hasyr, al-Taghabun dan al-Jumu‘ah, yang membawa mesej tasbih serta ketundukan makhluk kepada Allah SWT.
Turut hadir, Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim dan Ketua Biro Media dan Promosi PRNNK, Surena Mohd Nor.

Zaharah berkata, pengisian hari ini juga menjadi sebahagian daripada rangka persediaan PRNNK menjelang penganjuran program berskala besar World Quran Hour yang akan berlangsung pada Ramadan nanti secara serentak di seluruh dunia.
Menurutnya, program World Quran Hour peringkat Kelantan dijadualkan berlangsung pada pertengahan Ramadan di Masjid As Sidiqqin, Panchor, Pengkalan Chepa, dengan tumpuan kepada pentadabburan Surah as-Saff dan Surah al-Muzzammil.
“Program hari ini menjadi pembuka kepada kempen Ramadan kami dengan harapan masyarakat bukan sahaja membaca al-Quran, tetapi memahami, menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai lagi program pengisian Ramadan akan dianjurkan oleh PRNNK sepanjang bulan mulia itu bagi menggalakkan budaya tadabbur al-Quran dalam kalangan masyarakat Kelantan.
Mengakhiri ucapannya, Zaharah berharap penyertaan yang menggalakkan pada program itu dapat mencetuskan minat lebih ramai penduduk untuk menyertai aktiviti rumah ngaji pada masa akan datang, selaras dengan motto PRNNK iaitu “Baca, Faham, Amal dan Sebarkan.”
IMedikel TV






