SHAH ALAM: Selepas hampir dua bulan bernikah, hantaran 24 keping dinar emas diterima Primadona Filem Melayu, Erra Fazira pada majlis perkahwinan tanggal 12 Disember tahun lalu, masih lagi diperkatakan peminat.
Memetik laporan Berita Harian, suami aktres jelita itu, Mohammad Ezwan tidak menafikan hantaran dinar emas bertujuan memberi inspirasi kepada masyarakat mengenai kepentingan menyimpan aset seperti emas untuk masa depan.
“Sebenarnya, salah satunya tujuan kami, adalah untuk memberi kesedaran. Saya sedia maklum mengenai kepentingan emas.
“Apabila kita jadikan emas sebagai mas kahwin, kami berharap langkah ini dapat beri kesedaran kepada orang lain mengenai kepentingan emas.
“Apabila saya beri emas sebagai mas kahwin, orang sudah buka mata. Tengok, Erra Fazira dapat 24 dinar emas dan orang sudah mula kira-kira.
“Jadi saya fikir bagi impak kepada orang lain di mana orang sudah celik untuk kumpul emas. Alhamdulillah,” katanya ditemui pada majlis pelancaran dan perasmian butik Amelia Jewellery di sini, Ahad lalu.
Bagaimanapun, Erra atau nama sebenar, Fazira Wan Chek berkata, apa yang berlaku dianggap kebetulan apabila ramai peminat mula memperkatakan mengenai dinar emas sebagai pilihan terbaik sebagai mas kahwin berikutan nilai logam itu di pasaran.
Hakikatnya, Erra suka membuat pelaburan emas sejak dahulu lagi.
“Sebelum ini, Ezwan pernah tanya apa hantaran yang saya mahu. Saya cakap, tak mahu duit, sebaliknya, saya mahu emas,” katanya.
Erra mengakui dia kini lebih cenderung menyimpan emas sebagai aset pelaburan selepas menyedari kepentingan emas dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu.
“Pada zaman muda, saya suka emas putih. Sampai sekarang pun untuk kegunaan harian saya masih pilih emas putih. Namun, apabila melihat keadaan sekarang dan nilai emas yang semakin meningkat, saya lebih memilih emas kuning.
“Walaupun kedua-duanya adalah emas, tetapi nilai emas kuning itu lebih penting. Jadi, sekarang, saya sudah ‘switch’ cara berfikir. Kalau ada duit, saya akan beli emas,” katanya yang menemani suaminya pada majlis itu.
Erra menjelaskan kehadiran dia dan suami ke majlis anjuran Amelia Jewellery bukanlah sebagai duta rasmi, sebaliknya sebagai tanda sokongan terhadap jenama itu.
Erra berkata, perkembangan dunia yang semakin mencabar membuatkan dia lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan.
“Saya mengikuti perkembangan dunia sekarang dan sangat menakutkan. Kita tidak tahu apa akan berlaku setahun dari sekarang.
“Jadi, kita tidak boleh terlalu selesa. Emas adalah aset yang kuat. Tunai penting, tapi kita perlu ada simpanan yang lebih kukuh.
“Saya fikir semua orang perlu sedar dengan keadaan sekarang. Jika kita masih leka dan selesa dengan keadaan semasa, kita mungkin akan ketinggalan.
“Kita juga tidak tahu apa yang akan berlaku setahun dari sekarang. Saya percaya emas adalah aset yang sangat kukuh dan stabil,” katanya.
Erra juga menggalakkan orang ramai untuk mula melabur biarpun dalam jumlah kecil.

“Saya sangat berharap dan berazam, apa sahaja kerja atau rezeki yang kita dapat, kalau boleh, kita laburkan sebahagiannya. Walaupun hanya satu dinar, tidak mengapa, asalkan kita pandai mengasingkannya.
“Satu dinar bersamaan kira-kira beberapa gram emas. Ini sudah memadai sebagai permulaan. Apa yang penting, kita konsisten. Pelaburan ini bukan sekadar untuk masa depan, tetapi juga sebagai simpanan kecemasan.
“Sebab itu, saya ingin menggalakkan orang ramai supaya mula menyimpan dan melabur dari sekarang,” katanya.
Erra berkata, dia juga mendidik anaknya Engku Aleesya Engku Emran agar celik mengenai pengurusan kewangan sejak usia muda.
“Saya sentiasa menekankan kepada anak saya mengenai nilai duit, cara berbelanja dengan bijak dan memahami situasi global semasa. Saya selalu ingatkan dia supaya berjimat dan merancang kewangan sejak awal.
“Saya juga gemar menghadiahkan emas kepada anak saya setiap tahun sebagai simpanan jangka panjang.
“Begitu juga dengan ibu saya, setiap tahun, saya akan belikan emas untuk dikumpulkan.
“Walaupun ia seperti hadiah, sebenarnya, emas adalah satu bentuk pelaburan. Sekarang Aleesya sudah ada koleksi emas sendiri. Perlahan-lahan kita tanam dalam minda anak-anak, walaupun belum faham sepenuhnya, sekurang-kurangnya mereka sedar dari awal,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






