Home Sukan MABELLA TAK SABAR KEMBALI SARUNG JERSI TFC

MABELLA TAK SABAR KEMBALI SARUNG JERSI TFC

13
0

KUALA TERENGGANU: Penyerang Terengganu FC (TFC), Yann Mabella akui dia bagaikan tidak sabar untuk kembali beraksi bersama pasukannya selepas empat bulan berehat akibat kecederaan.

Memetik laporan Harian Metro, jelasnya, dia begitu merindui untuk kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukannya serta berjumpa dengan peminat yang pasti ternanti-nanti kemunculannya.

Bagaimanapun pemain kelahiran Perancis itu terpaksa menunggu ‘lampu hijau’ terlebih dahulu daripada pegawai perubatan pasukannya sebelum dibenarkan membarisi skuad Penyu itu.

“Saya baharu tiba di Terengganu sejak kelmarin dari Perancis selepas satu bulan setengah menjalani rawatan dan janji temu dengan pihak doktor selain proses pemulihan mengenai kecederaan lutut yang saya alami.

“Sekarang saya sudah kembali bersama pasukan untuk meneruskan program pemulihan di sini (Terengganu).

“Bagaimanapun saya belum pasti sepenuhnya bila dapat beraksi kerana perlu berjumpa dengan fisioterapi serta pegawai perubatan pasukan mengenai pelan seterusnya dan daripada situlah akan ditentukan bila saya boleh kembali bermain.

“Tapi saya meletakkan harapan yang tinggi agar kecederaan saya sembuh dengan cepat kerana sasaran sekurang-kurangnya pada bulan depan saya boleh kembali beraksi bersama TFC,” katanya yang kini fokus menjalani latihan di gimnasium bagi meningkatkan kecergasan.

Terdahulu ketiadaan penyerang tulen itu bermula Oktober lalu menyaksikan skuad TFC tidak begitu konsisten selain bergelut untuk mendapatkan jaringan dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun kehadiran penyerang import baharu kelahiran Belanda, Gervane Kastaneer sejak minggu lalu sedikit sebanyak melegakan kem TFC biarpun bekas pemain kelab Persis Solo dalam Liga Indonesia itu belum mampu menunjukkan taring sebenarnya kerana masih baharu bersama pasukan. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here