Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM200 juta setahun bagi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) atau Bas.My di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, SBST beroperasi sejak Julai tahun lalu dan mendapat sambutan daripada penumpang.
“SBST sudah beroperasi enam bulan lalu dan dalam tempoh tersebut jumlah penumpang semakin meningkat.
“Rata-rata diterima baik oleh rakyat Kelantan terutamanya dari segi pas konsesi warga emas, pelajar dan Orang Kelainan Upaya (OKU),”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST)-Bas.My Kota Bharu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Eksekutif Konsortimum E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.
Menurut beliau perkhidmatan Bas.My disediakan di semua negeri kecuali Pualu Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.
“Semua negeri sudah ada perkhidmatan tersebut kecuali Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor kerana mereka ada perkhidmatan Rapid.
“Setakat ini masih ada negeri yang belum beroperasi iaitu Kota Kinabalu, Sabah. Kuching, Sarawak dan Kuantan, Pahang sudah beroperasi,”katanya.
Katanya operasi perkhidmatan disokong oleh 64 bas merangkumi lapan bas EV mini low floor dan 32 bas mini lengkap dengan kemudahan penghawa dingin, sistem GPS, mesin tiket elektronik serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang.
Beliau berkata Bas.My Kota Bharu turut memperkenalkan sistem pembayaran tanpa tunai menggunakan kad debit atau kredit serta e-dompet melalui kod QR.
Katanya warganegara Malaysia juga boleh menikmati Kad 30 Hari Bas.My bernilai RM30 untuk perjalanan tanpa had, selain tambang percuma kepada golongan OKU, warga emas, pelajar sekolah dan siswa melalui Kad Konsesi Bas.My.
IMedikel TV






