Home Buletin Semasa KERAJAAN SARAWAK PERUNTUK RM1 JUTA KEPADA IDIP PERKIM

KERAJAAN SARAWAK PERUNTUK RM1 JUTA KEPADA IDIP PERKIM

133
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) bagi tujuan menaik taraf infrastruktur institut berkenaan yang terletak di Kelantan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata peruntukan itu disalurkan menerusi Biro Pendidikan Negeri Sarawak bagi meningkatkan kemudahan serta keselesaan pelajar, termasuk cadangan pembinaan asrama lelaki, surau dan dewan serbaguna.

“Perancangan tersebut bukan sekadar cadangan jangka pendek, sebaliknya adalah keperluan strategik jangka panjang yang memerlukan tindakan segera daripada pihak pengurusan PERKIM.

“Kerajaan Negeri Sarawak berhasrat untuk menambah baik infrastruktur IDIP secara menyeluruh. Cadangan pembinaan asrama muslimin, surau sebagai tempat ibadah serta dewan serbaguna adalah antara keutamaan yang sedang dirancang.

“Jawatankuasa khas sudah ditubuhkan bagi menyempurnakan tugasan ini dan perancangan tersebut kini berada di peringkat akhir sebelum kelulusan pembinaan diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Kali Ke-29 IDIP, di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak (KIJP), Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, serta Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Mohamad Marzuki Mohamad Omar.

Pada majlis berkenaan, seramai 104 pelajar menerima sijil pengajian, membabitkan 39 penerima Sijil Asas Pengajian Islam (SAP) dan 65 penerima Sijil Pengajian Islam (SPI).

Abang Johari yang juga Yang Dipertua PERKIM turut memaklumkan bahawa Biro Pendidikan Negeri Sarawak menyalurkan tambahan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada PERKIM Kelantan.

“Kerjasama strategik antara IDIP dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) dijangka memberi sokongan berterusan terhadap pelaksanaan dakwah IDIP, khususnya dalam bidang pendidikan Islam,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here