Home Buletin Semasa TRAGEDI MERCUN UBAH TAKDIR, USTAZ MUDA BANGKIT MELALUI AL-QURAN BRAILLE

TRAGEDI MERCUN UBAH TAKDIR, USTAZ MUDA BANGKIT MELALUI AL-QURAN BRAILLE

141
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tragedi mercun lapan tahun lalu mengubah sepenuhnya perjalanan hidup Eiman Najwan Anwar Fuad, 22, apabila beliau kehilangan penglihatan sepenuhnya di mata kanan manakala mata kiri hanya mampu mengesan cahaya, namun beliau bangkit dengan mempelajari al-Quran Braille.

Menurutnya akibat tragedi itu, Eiman Najwan mengalami kemurungan selama hampir setahun dan terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Namun, kerinduan mendalam terhadap al-Quran menjadi titik kebangkitan buat anak kedua daripada tiga beradik itu.

Pada hujung tahun 2023, Eiman Najwan mula mempelajari al-Quran Braille secara serius. Walaupun diakui sukar pada peringkat awal, beliau hanya mengambil masa kira-kira sebulan untuk menguasai asas tulisan Braille.

“Dalam tempoh enam bulan saya dapat menguasai pembelajaran al-Quran Braille. 

“Bukan mudah kerana saya menggunakan satu tangan sahaja iaitu tangan kanan, kalau lama sangat guna tangan akan jadi kebas.

“Ia memerlukan latihan berterusan, ingatan yang kuat serta rangsangan sentuhan. Biasanya saya berlatih antara satu hingga dua jam sehari.

“Saya mula mengajar al-Quran Braille pada hujung tahun 2024 dan kini membimbing enam pelajar dengan sistem pembelajaran berperingkat daripada kelas asas ke kelas lanjutan al-Quran Braille,”katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Kelantan, di sini, semalam. 

Menurutnya, kebanyakan pelajar mengambil masa sekitar sebulan untuk menghafaz satu juzuk al-Quran, bergantung kepada tahap keupayaan ingatan dan konsistensi latihan.

Katanya beliau pernah menamatkan bacaan al-Quran sebanyak dua kali ketika di bangku sekolah dan mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak.

Menceritakan kembali detik itu, Eiman Najwan berkata insiden tersebut berlaku ketika bulan Ramadan ketika beliau berusia 14 tahun.

“Saya memasukkan belerang mercun bola ke dalam sebuah botol sebelum letupan kuat berlaku.

“Letupan itu menyebabkan botol berkenaan pecah dan mengakibatkan tangan kiri saya hancur, dahi hancur serta kerosakan kekal pada kedua-dua mata. 

“Saya juga sudah menjalani pembedahan dahi dengan mengambil kulit di bahagian kaki,”katanya.

Namun semangatnya terhadap ilmu al-Quran tidak pernah padam walaupun diuji dengan kecacatan kekal.

Walaupun diuji dengan kehilangan besar, Eiman Najwan membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk bangkit dan menyumbang kepada masyarakat, khususnya dalam memartabatkan al-Quran dalam kalangan komuniti OKU penglihatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here