Home Luar Negara HAMAS MAKLUMKAN LOKASI MAYAT RAN GVILI

HAMAS MAKLUMKAN LOKASI MAYAT RAN GVILI

169
0

BANDAR GAZA: Sayap bersenjata Hamas pada Ahad memaklumkan kepada pihak perantara mengenai lokasi mayat tentera terakhir Israel yang ditahan di Gaza, dan menyatakan tentera Israel kini melakukan pencarian di kawasan berkenaan berdasarkan maklumat yang diberikan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Memetik laporan Bernama-Anadolu menerusi Harian Metro, kumpulan itu berkongsi “semua butiran yang ada” dengan pihak perantara berhubung mayat tentera Israel, Ran Gvili, kata jurucakap Briged Al-Qassam dalam satu kenyataan.

“Musuh (Israel) kini menjalankan pencarian di satu daripada lokasi berdasarkan maklumat yang kami berikan,” katanya sambil menambah bahawa kumpulan itu mengendalikan isu tawanan dan mayat “dengan penuh ketelusan.”

Beliau berkata, Al-Qassam memenuhi obligasinya di bawah perjanjian gencatan senjata dengan menyerahkan semua tawanan dan mayat “secepat mungkin,” selain menuduh Israel gagal mematuhi sepenuhnya perjanjian berkenaan.

Beliau menambah bahawa kumpulan itu berusaha untuk menutup fail berkenaan dan menggesa pihak perantara bagi memastikan pelaksanaan perjanjian berkenaan.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Israel menjadikan pemulangan mayat tawanan terakhirnya dari Gaza sebagai syarat bagi pembukaan semula pintu sempadan Rafah di pihak Palestin antara Gaza dan Mesir.

Pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza dan Mesir dijadualkan dibuka semula pada Oktober di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober, namun Israel tidak mematuhinya.

Sementara itu, Ali Shaath yang juga ketua jawatankuasa teknokrat yang ditugaskan untuk menguruskan Gaza, mengumumkan bahawa pintu sempadan Rafah akan dibuka semula minggu depan dalam satu ucapan di televisyen susulan pemeteraian piagam “Lembaga Keamanan” di Davos.

Sejak fasa pertama gencatan senjata, pejuang Palestin membebaskan 20 tawanan Israel yang masih hidup dan memulangkan mayat 27 yang lain, manakala mayat Gvili masih belum diserahkan.

Fasa kedua perjanjian itu menetapkan pelucutan senjata Hamas dan kumpulan Palestin yang lain, pengunduran tambahan tentera Israel dari Gaza, serta pelancaran usaha pembinaan semula yang dianggarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan menelan kos kira-kira AS$70 bilion.

Tentera Israel membunuh lebih 71,000 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di Gaza sejak Oktober 2023, dalam serangan yang turut menyebabkan wilayah itu hancur musnah.

Meskipun terdapat gencatan senjata, Israel terus melakukan serangan yang mengorbankan 484 rakyat Palestin dan mencederakan 1,321 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan. – BERNAMA-ANADOLU, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here