Home Buletin Semasa ZUKI TARZAN MANFAAT SABUT KELAPA JADI KARYA SENI

ZUKI TARZAN MANFAAT SABUT KELAPA JADI KARYA SENI

285
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Berbekalkan kreativiti dan kepekaan terhadap alam sekitar, bapa kepada seorang anak menjadikan sisa semula jadi sebagai medium utama dalam penghasilan seni kraftangan yang unik dan berkarakter.

Di sebelah rumahnya, Mohd Zuki Ramli, 29, dari Kampung Kijang, di sini tekun mengolah sabut kelapa, tempurung kelapa dan upih pinang untuk dijadikan karya seni figura haiwan.

Dia yang juga dikenali Zuki Tarzan berkata, idea untuk menghasilkan seni kraftangan itu bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, tetapi juga sebahagian hiburan untuk orang ramai.

“Saya memang sejenis suka menghiburkan orang lain, jadi saya melihat sisa-sisa alam sekitar ini berpotensi untuk dijadikan kraftangan berbentuk figura haiwan, jadi terhasilnya haiwan pertama iaitu burung camar dan kura-kura.

“Apabila orang ramai tengok hasil kraftangan saya, alhamdulillah ramai yang terhibur dengan keunikan karya itu, jadi saya teruskan dengan haiwan-haiwan lain pula,” katanya ketika ditemui IMedikel TV, baru-baru ini.

Zuki berkata, dia turut mendapat ilham untuk menjadikan haiwan itu seakan-akan ’hidup’ dengan meletakkan pemberat timah pada bahagian tertentu seperti kepala kura-kura supaya berayun apabila ditiup angin.

”Pada mulanya, saya reka haiwan itu berbentuk seperti ’mati’ atau tidak bergerak, tetapi saya rasa lebih menarik sekiranya ia bergerak seperti haiwan hidup, hari demi hari saya berfikir dan mendapat ilham untuk meletakkan pemberat timah pada haiwan itu supaya bergerak apabila ditiup angin,” katanya.

Bercerita lanjut, Zuki berkata dia mengambil sabut dan tempurung kelapa di kawasan pengumpulan sabut kerana sekiranya tidak digunakan bahan itu akan dibuang dan dibakar menjadi sisa alam sekitar.

Bermula sebagai minat pada Oktober tahun lalu, kini seni kraftangan berasaskan sisa alam menjadi identiti Zuki.

Tambahnya, figura ’crazy frog’ adalah paling diminati ramai kerana penghasilannya menggunakan tempurung manakala giginya menggunakan botol yang dipotong.

Dia percaya, kreativiti mampu mengubah persepsi masyarakat bahawa sesuatu yang dianggap tidak bernilai sebenarnya boleh memberi pulangan dan kepuasan.

Kini seni kraftangan itu bukan sahaja dapat menghiburkan orang ramai malah mendapat permintaan daripada pelancong luar negara termasuk Itali, Jerman dan Brazil.

Pelbagai seni kraftangan itu dijual pada harga antara RM10 hingga RM100 bergantung pada saiz dan kerumitan penghasilannya.

“Saya mengekalkan keaslian warna sabut dan tempurung kelapa ini kerana ia lebih menunjukkan elemen kampung dan klasik, tetapi sekiranya pelanggan mahu ia lebih berkilat, saya akan menambah sedikit cat kilat pada haiwan itu,” katanya.

”Kesemua bahan-bahan saya guna ini bukan hanya sampah, tetapi ia sebenarnya sisa alam sekitar yang boleh dijadikan mainan serta dikitar semula sehingga mendatangkan pendapatan pada kita,” katanya.

Bukan itu sahaja dia turut menghasilkan seni kraftangan menggunakan tin aluminium dan cantik dijadikan sebuah motosikal vespa.

Lebih daripada sekadar seni, hasil kraftangan Zuki turut membawa kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan mengurangkan pembaziran sumber semula jadi.

Bagi Zuki Tarzan, seni bukan sekadar keindahan, tetapi medium untuk menyampaikan mesej bahawa alam sekitar perlu dihargai dan dipelihara bermula daripada perkara yang paling kecil.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here