Home Hiburan SHARNAAZ BIMBANG TREND VIRAL ‘TAKUT BINI’ HAKIS NILAI HORMAT SUAMI ISTERI

SHARNAAZ BIMBANG TREND VIRAL ‘TAKUT BINI’ HAKIS NILAI HORMAT SUAMI ISTERI

PUTRAJAYA: Memetik laporan menerusi Berita Harian pelakon, Sharnaaz Ahmad menasihatkan penggiat kandungan media sosial supaya tidak melampaui batas demi mengejar populariti kerana dibimbangi mampu membentuk tabiat negatif yang akhirnya memberi kesan terhadap institusi keluarga.

Sharnaaz atau nama penuhnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 41, berkata kebebasan mencipta kandungan, khususnya yang berteraskan konsep ‘takut bini’, berpotensi menghakis nilai hormat dalam hubungan suami isteri jika tidak dikawal.

“Bagi saya, apabila dunia semakin moden, ada kemungkinan sesetengah individu lupa batas dalam menghasilkan kandungan media sosial. Mungkin dalam kehidupan sebenar perkara itu tidak pun berlaku.

“Di rumah, mungkin wanita berkenaan tidak berani bercakap sedemikian dengan suaminya, tetapi disebabkan kandungan, dia menjadi berani melontarkan kata-kata itu di hadapan kamera.

“Apa yang saya bimbangkan, sikap itu terbawa-bawa apabila kamera sudah ‘off’. Apabila kerap dipertontonkan dan dianggap hiburan, lama-kelamaan ia menjadi normal, sedangkan kesannya boleh membahayakan institusi keluarga,” katanya ketika ditemui pada acara Bulan Bintang: The Next Chapter Fashion Show 2026, di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai segelintir netizen yang melabel dirinya sebagai ‘terpaling’, bintang filem Blood Brothers: Bara Naga itu menegaskan dirinya tidak terganggu dengan tanggapan yang mengaitkan tegurannya dengan kegagalan rumah tangga terdahulu.

Menurut Sharnaaz, perceraian yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan tiada kesefahaman dan langsung tidak berkait dengan isu kurang hormat atau tingkah laku seperti yang diperkatakan.

“Saya langsung tidak terasa kerana perceraian saya dengan Nabila 100 peratus disebabkan perkara lain, iaitu soal persefahaman, dan tiada kena-mengena dengan isu kurang hormat.

“Sepanjang perkahwinan, saya boleh katakan Nabila tidak pernah bersikap kurang ajar seperti kandungan video kontroversi yang dimuat naik sesetengah pihak.

“Kami berpisah kerana tiada persetujuan dalam banyak perkara, namun sehingga hari ini hubungan kami masih baik dan saling menghormati,” tegasnya.

Dalam pada itu, bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata, hubungan baik yang terjalin membolehkan mereka terus bekerjasama dalam soal membesarkan anak tunggal mereka, Jebat Jayden.

“Hubungan kami baik saja. Kami saling maklum tentang keberadaan masing-masing. Saya juga bantu menjaga anak jika dia ada urusan, termasuk membelikan makanan.

“Kalau saya ada teman wanita atau jika dia berkahwin lain sekali pun, saya tetap akan hormat suaminya.

“Bagi saya, apabila sudah matang dan saling memahami, Insya-Allah, tiada masalah dalam hubungan,” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran video di Instagram, Sharnaaz menegur pempengaruh agar tidak menjadikan isu ‘takut bini’ sebagai bahan kandungan demi tontonan dan hiburan kerana dikhuatiri memberi kesan negatif terhadap rumah tangga.

Bagaimanapun, terdapat segelintir pengikut yang mengaitkan perkongsian itu dengan perceraiannya bersama bekas isteri.

Untuk rekod, Sharnaaz mendirikan rumah tangga dengan Noor Nabila pada 31 Mac 2017 dan bercerai secara hakam pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden, kini berusia lapan tahun. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here