Home Buletin Semasa KPDN TUMPAS SELEWENG DIESEL DI STESEN MINYAK KUALA KRAI

KPDN TUMPAS SELEWENG DIESEL DI STESEN MINYAK KUALA KRAI

158
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kuala Krai menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi satu serbuan di sebuah stesen minyak di daerah ini, pagi kelmarin.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar, berkata serbuan yang dijalankan kira-kira jam 11.30 pagi itu membawa kepada pembukaan dua kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori yang disyaki digunakan bagi tujuan pemindahan diesel tanpa kebenaran.

“Dalam operasi tersebut, seorang lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan. Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 39 unit tong jerikin berisi minyak diesel dengan jumlah keseluruhan rampasan anggaran sebanyak 702 liter.

“Turut disita ialah sebuah lori jenis Toyota Dyna berpendaftaran tempatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan berkenaan,”katanya menerusi hantaran rasmi Facebook, di sini, hari ini.

Beliau berkata nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM16,993.68.

Kes disiasat di bawah Peraturan 18(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan melebihi kuantiti yang dibenarkan daripada Pengawal Bekalan.

Dalam perkembangan sama, siasatan turut dijalankan terhadap stesen minyak terbabit yang disyaki melanggar arahan dan bersekongkol melalui penjualan melebihi kuantiti tersebut.

“KPDN memandang serius sebarang cubaan menyeleweng barang kawalan bersubsidi kerana perbuatan tersebut menjejaskan kepentingan rakyat serta kestabilan bekalan negara,”katanya.

Sehubungan itu, orang awam diseru menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah guna barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam pengagihan subsidi terus terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here