PUTRAJAYA: “Saya rasa Mimi sudah buat ‘damage control’ yang baik,” kata pelakon, Syafiq Kyle.
Memetik laporan Harian Metro, Syafiq berkata demikian ketika mengulas permohonan maaf secara terbuka isterinya juga pelakon Mimi Lana kepada seorang jurusolek kerana terlepas pandang bayaran perkhidmatan yang sudah diberikan.
Syafiq berkata, Mimi juga sudah berhubung secara peribadi dengan jurusolek itu untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
“Dia (Mimi) sudah buat ‘damage control’ jadi tiada apa pun yang perlu diperbesarkan.
“Sebagai suami, saya melihat ada pro dan kontra apabila Mimi buat tindakan sebegitu kerana ada orang yang akan masuk dan beri komen di media sosial.
“Terlalu aktif atau tidak aktif di media sosial pun ada pro dan kontra. Jadi orang kata jika kita berani ‘expose’ (mendedahkan) kita juga kena berani ‘confront’ (bersemuka)’,” katanya.
Syafiq ditemui pada acara Bulan Bintang: The Next Chapter Fashion Show 2026, di sini.
Mengulas lanjut, kata pelakon filem Blood Brothers : Bara Naga itu, sebagai artis soal pembayaran selalunya diuruskan pembantu peribadi, pengurus artis dan pihak pengurusan.
“Kadang-kadang kita terlepas pandang kerana sibuk bekerja seperti menjayakan sesi fotografi dan sebagainya. Pihak produksi pun ada terlepas pandang bayaran kru apatah lagi artis.
“Saya rasa lebih baik kita selesaikan perkara sebegitu secara peribadi menerusi WhatsApp dari hebahkan ke media sosial sebab perkara itu akan bermain di media sosial dan berbalik semula kepada diri kita,” katanya.
Menurutnya, sebagai manusia kita juga tidak selalunya sempurna dan tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
“Mungkin bila kita sebarkan aib orang (berhutang) mesti akan ada orang sebarkan aib kita berhutang dengan orang lain pula. Jadi, saya rasa lebih elok kita selesaikan perkara sebegitu secara peribadi.
“Saya sendiri pun ada yang terlupa nak bayar tetapi selesaikannya secara peribadi dan jarang orang nak tularkan. Kadang-kadang benda tu ‘simple’ saja,” katanya.
Terdahulu, seorang jurusolek membuat hantaran mengenai seorang artis wanita yang tidak membayar perkhidmatan yang ditawarkan sebanyak RM250 walaupun sudah berkali-kali membuat peringatan kepada artis terbabit.
Bagaimana pun, Mimi tampil mengakui kesalahannya dan meminta maaf secara terbuka kepada jurusolek itu kerana terlepas pandang serta meminta jurusolek itu menghubungi pembantu peribadinya untuk menyelesaikan bayaran berkenaan. – HMetro Online –
IMedikel TV






