Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: NUH Travel & Tours Sdn Bhd mengesahkan seorang jemaahnya, Nadia Kesuma, yang sebelum ini dilaporkan hilang di Jeddah, Arab Saudi, sudah meninggal dunia.
Menurut kenyataan rasmi syarikat itu hari ini, penemuan Allahyarhamah adalah hasil usaha bersama Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah serta wakil muasasah yang terlibat.
“Pemergian Allahyarhamah amat mengejutkan dan memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga, kenalan terdekat serta pihak pengurusan syarikat.
“Sepanjang tempoh pencarian, pihak NUH Travel telah berusaha sedaya upaya dengan kerjasama pelbagai pihak berautoriti, dan kami amat menghargai sokongan serta bantuan yang diberikan oleh Wisma Putra, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan semua pihak yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, NUH Travel & Tours turut merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dan mendoakan agar mereka diberikan ketabahan, kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian berat ini.
Syarikat berkenaan turut memaklumkan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pengurusan serta perkara-perkara berkaitan yang diperlukan susulan kejadian tersebut.
Pada masa sama, orang ramai diminta menghormati privasi keluarga Allahyarhamah serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menambahkan kesedihan pihak terlibat.
NUH Travel & Tours turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh.
IMedikel TV






