Home Buletin Semasa POLIS TAHAN DUA BERADIK BUAT PISTOL TIRUAN, AMBIL UPAH KUTIP HUTANG AH...

POLIS TAHAN DUA BERADIK BUAT PISTOL TIRUAN, AMBIL UPAH KUTIP HUTANG AH LONG

240
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis menahan dua beradik yang dipercayai mengambil upah sebagai pengutip hutang ah long dengan menggunakan pistol tiruan buatan sendiri dalam satu serbuan di Kampung Seneng, Jelawat, kira-kira jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kegiatan itu dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu dengan tujuan menakut-nakutkan penghutang di sekitar negeri Kelantan.

“Dalam serbuan itu polis merampas selaras senapang buatan sendiri, dua pucuk pistol buatan sendiri, dua pucuk pistol tiruan, dua kelopak peluru, satu sarung pistol, 27 biji serbuk kaliber, sebuah motosikal serta tiga telefon bimbit.

“Kedua-dua suspek bekerja sebagai tukang besi dan menghasilkan pistol tiruan selepas mempelajarinya menerusi YouTube serta mendapatkan bahan-bahan melalui aplikasi dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek berusia 34 dan 37 tahun itu telah mengutip hutang ah long berjumlah kira-kira RM200,000 di sekitar Bachok dan Pasir Puteh.

Jelasnya, kegiatan tersebut dilakukan sebagai pekerjaan sampingan selain kerja hakiki mereka sebagai tukang besi.

Tambah beliau, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau serta didapati positif dadah.

“Kedua-duanya direman selama empat hari bermula 14 Januari hingga 17 Januari bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here