Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Tujuh beradik dari Kampung Padang Pak Amat di sini berdepan ujian berat apabila kesemuanya disahkan menghidap penyakit kronik sejak dilahirkan, sekali gus menerima rawatan berterusan dan perhatian rapi.
Ketujuh-tujuh anak kepada pasangan Sukor Abu Hassan, 50 dan Siti Samiah Mohd Yidin, 38 itu mengalami masalah asma dan saluran pernafasan sempit, malah sebahagiannya turut menghidap penyakit jantung.
Siti Samiah berkata keadaan itu memberi tekanan besar kepada keluarga apabila anak-anaknya kerap diserang asma, dalam keadaan dia sendiri turut berdepan masalah kesihatan termasuk penyakit jantung dan tiroid.
Katanya Siti Aisyah Alyaa Ahmad Kamil Zuhairi, 18, menghidap asma kronik dan Ahmad Firdaus, 16, mengalami masalah saluran pernafasan serta injap jantung sempit.
Selain itu, Muhammad Zul Harris, 11, dan Nur Balqis Umairah, 10, turut menghidap asma, manakala Muhammad Saifullah, 7, mengalami masalah saluran pernafasan sempit serta jantung membesar.
Nur Badariah, 4, juga menghidap asma, sementara anak bongsu, Siti Nur Arrisya Sofia, 1, mengalami jantung berlubang, pendarahan dalam kepala serta jangkitan kuman dalam darah selain dilahirkan pramatang.

“Anak-anak saya sangat sensitif dengan cuaca panas dan persekitaran berhabuk kerana ia boleh menyebabkan serangan asma.
“Pernah berlaku dalam satu hari, tiga anak terpaksa dimasukkan ke hospital serentak,” katanya ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.
Siti Samiah berkata dia kini mengambil upah menjaga orang tua sakit dengan pendapatan tidak menentu.
“Namun, suami saya baru sahaja ditamatkan kontrak sebagai pembantu operasi di sebuah syarikat swasta dan kini sedang mencari pekerjaan,”katanya.
Katanya, kekangan kewangan menjadi cabaran terbesar buat keluarga mereka, namun dia dan suami tetap berusaha untuk terus kuat demi memastikan anak-anak mendapat rawatan yang diperlukan.
“Walaupun tidak cukup tidur dan badan tidak sekuat dahulu, kami perlu terus kuat demi anak-anak. Ada kalanya saya sendiri tidak mampu berjalan akibat penyakit yang dialami, namun saya yakin Allah sentiasa ada membantu hamba-Nya yang diuji,” katanya.
Lebih menyedihkan, katanya, salah seorang anaknya pernah terputus bekalan ubat hampir dua minggu akibat ketiadaan stok dan kekangan kewangan, apabila keluarga itu tidak mampu membeli ubat berharga sekitar RM20, sekali gus menjejaskan tahap kesihatan anak berkenaan.
Bagaimamanpun keluarga itu turut menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjumlah RM2,000 setahun bagi menampung keperluan asas.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Siti Samiah di talian 011-5664 9199 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam miliknya, 03090020984459.
Dalam pada itu, pihak I Medikel turut memberikan sumbangan kepada keluarga itu sebagai tanda keprihatinan dan simpati.
IMedikel TV






