Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bertindak menyita 35 kenderaan pada operasi diadakan Genting Highlands dan Temerloh, kelmarin.
Operasi dua hari mengesan 35 kenderaan mewah jenis Luxury dan Honda City yang tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, berkata disebabkan pemilik 35 kenderaan terbabit gagal memperbaharui LKM menyebabkan berlaku ketirisan kira-kira RM40,777.
Menurutnya, pihaknya terpaksa bertindak tegas menyita kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan, tindakan undang-undang dikenakan bagi memastikan pemilik kenderaan terbabit tidak terus menggunakan kenderaan tanpa cukai jalan.
Menurutnya, tujuh kenderaan tanpa cukai jalan di Temerloh dengan nilai ketirisan lebih RM22,234 diikuti 28 kenderaan di Genting Highlands dengan ketirisan kira-kira RM18,542.
“Kadar tahunan LKM tertinggi bagi kenderaan yang disita ialah jenis Range Rover model Range Rover Sport Autobiograph sebanyak RM4,840 yang tamat tempoh pada Januari 2024.
“Kita mengesan terdapat banyak kenderaan yang datang bercuti di pusat peranginan Genting Highlands menggunakan kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan,” katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mengadakan operasi disetiap daerah di negeri ini bagi mengesan kenderaan tamat tempoh cukai jalan selain kesalahan lain seperti tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh.
Syed Ahmad Khirulanwar berkata, pihak JPJ Pahang menasihatkan pengguna kenderaan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang, usaha mengesan mereka yang melakukan kesalahan dilakukan secara berterusan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan apa juga kesalahan jalan raya, tindakan undang-undang sedia menunggu individu yang bersalah,” katanya.
IMedikel TV






