Home Luar Negara PAKAR MATEMATIK KOREA SELATAN SELESAI ‘TEKA-TEKI’ 6 DEKAD

PAKAR MATEMATIK KOREA SELATAN SELESAI ‘TEKA-TEKI’ 6 DEKAD

SEOUL: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, seorang pakar matematik Korea Selatan menerima pengiktirafan antarabangsa selepas berjaya menyelesaikan teka-teki geometri yang gagal dibuktikan selama hampir enam dekad, lapor The Korea Herald.

Majalah Amerika Syarikat (AS), Scientific American menamakan penyelidikan Dr Baek Jin-eon sebagai antara 10 pencapaian matematik terbaik bagi tahun 2025, menurut komuniti matematik pada 4 Januari.

Dr Baek, 31, adalah penyelidik di Pusat Cabaran Matematik June E Huh di Institut Pengajian Lanjutan Korea (KIAS), dan sebelum ini berkhidmat di Institut Sains Matematik Kebangsaan.

Persoalan yang dikenali sebagai ‘masalah sofa bergerak’ itu menyoal tentang saiz maksimum bentuk tegar yang masih boleh melalui sudut bersudut tegak dalam koridor berbentuk ‘L’ selebar satu meter (m).

Teka-teki itu mula dikemukakan pada 1966 oleh pakar matematik Austria-Kanada, Leo Moser dan terkenal kerana mudah difahami tanpa memerlukan pengetahuan matematik peringkat tinggi.

Selama beberapa dekad, penyelidik mencadangkan pelbagai bentuk yang semakin cekap, namun mereka tidak mampu membuktikan had maksimum keluasan yang sebenar.

Pada 1968, pakar matematik Britain, John Hammersley memperkenalkan bentuk dengan keluasan kira-kira 2.2074 meter persegi, manakala pada 1992, Profesor Joseph Gerver mencadangkan reka bentuk seluas 2.2195 meter persegi.

Walaupun reka bentuk Dr Gerver muncul sebagai calon utama, tiada bukti kukuh sebelum ini menunjukkan bahawa bentuk yang lebih besar adalah mustahil untuk dicipta.

Penyelidikan Dr Baek bertujuan memuktamadkan persoalan itu apabila beliau menghasilkan kertas kerja setebal 119 halaman yang membuktikan bahawa reka bentuk Dr Gerver adalah had maksimum mutlak.

Kertas kerja berkenaan kini dalam semakan jurnal Annals Of Mathematics selepas Dr Baek menyelesaikan masalah itu pada usia 29 tahun ketika berkhidmat sebagai penyelidik di Universiti Yonsei. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here