Home Buletin Semasa KASIH ANAK DI USIA SENJA, DUA BERADIK WARGA EMAS TABAH JAGA IBU...

KASIH ANAK DI USIA SENJA, DUA BERADIK WARGA EMAS TABAH JAGA IBU UZUR

119
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV


PASIR MAS: Di sebuah rumah sederhana di Kampung Pengkalan Machang, To’ Uban, tersimpan kisah ketabahan warga emas yang berjuang menjaga ibu uzur demi kelangsungan hidup pada usia senja.

Che Esah Awang Besar, 92, kini terlantar sakit sejak menjalani pembedahan membuang ketumbuhan jenis cyst seberat 2.7kilogram(kg) pada 2017.

Sejak pembedahan tersebut, dia tidak lagi mampu bangun dan memerlukan penjagaan rapi sepenuhnya daripada anak-anak.

Anak sulungnya, Fatimah Ibrahim, 74, berkata dia sudah menjaga ibunya lebih 20 tahun.

“Selepas pemergian arwah ayah akibat sakit tua, saya mengambil alih menjaga ibu. Selepas kematian arwah ayah, ibu masih sihat, dia boleh lagi menjual kuih muih dan dihantar ke Tanah Merah.

“Namun selepas itu, saya bersama adik kedua bongsu saya sama-sama menjaga ibu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Menurut Fatimah, ibunya tiada masalah kesihatan lain bagaimanapun menurutnya keadaan ibunya semakin uzur sejak kebelakangan ini.

“Sejak seminggu lalu dia tidak lagi mampu untuk makan sendiri dan perlu disuap kerana badannya semakin lemah,”katanya.

Fatimah sendiri berdepan masalah kesihatan apabila mengalami sakit pinggang kesan daripada dihempap almari hampir 30 tahun lalu.

Walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan namun, rasa kasih dan sayang terhadap ibunya tidak pernah padam.

Turut membantu ialah adiknya, Zulkifli Ibrahim, 60, yang tinggal di Kampung Temenggong, kira-kira tiga kilometer (km) dari rumah ibunya.

“Biasanya adik akan membantu mengangkat ibu dan saya akan memandikan ibu. Selepas selesai adik akan mengangkat ibu kembali,”katanya.

Zulkifli yang juga anak kelima daripada enam beradik berkata walaupun mempunyai masalah kesihatan sendiri, dia tetap memainkan peranan dalam menguruskan keperluan harian ibunya.

“Saya akan datang ke rumah ibu sekurang-kurangnya tiga kali sehari bagi memastikan keperluan ibu terjaga.

“Memang tugas saya sebagai anak. Walaupun saya tidak tinggal sebumbung, saya akan datang waktu pagi, tengah hari dan petang, tiga kali sehari itu memang wajib,”katanya.

Zulkifli yang hanya bekerja kampung berkata dia sanggup mengetepikan urusan kerja demi memastikan ibunya mendapat penjagaan rapi termasuk musim banjir.

“Walaupun hujan, banjir saya tetap akan datang, tidak kira masa, bila sampai waktunya saya akan datang untuk menjalankan tanggungjawab saya sebagai anak,”katanya.

Menurut Zulkifli walaupun dia sendiri berdepan masalah kesihatan termasuk tekanan darah dan paras gula rendah, namun keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada ibu.

“Sebagai anak, ini tanggungjawab kami, malah saya bangga sebab di usia ini, saya masih ada ibu,”katanya.

Sementara itu, Koordinator The 3rd Force Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie berkata, Fatimah dan ibunya Che Esah masing-masing menerima bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM400 sebulan.

Katanya 3rd Force Pasir Mas turut memberi sumbangan sebuah katil dan kerusi roda untuk kemudahan.

Manakala wakil ‘IMedikel turut memberi sumbangan kepada Che Esah ketika kunjungan kru IMedikel TV di rumahnya, ‘;semalam.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here