Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan mencatatkan kutipan kompaun sebanyak RM9.02juta bagi tempoh Januari hingga November 2025, menunjukkan peningkatan sebanyak 5.55 peratus berbanding RM8.5juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, peningkatan kutipan itu antara lain dipengaruhi oleh pengurangan kadar kompaun sebanyak 50 peratus serta pelaksanaan Program Budi MADANI RON95 yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.
“Sepanjang tahun 2025, JPJ Negeri Kelantan melaksanakan pelbagai operasi penguatkuasaan bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna jalan raya sentiasa berada pad atahap optimum seterusnya meningkatkan keselamatan jalan raya di negeri ini.
“Operasi itu termasuk “Operasi itu termasuk Ops Pemandu Warga Asing (PEWA), Ops RoadToo/Tunggak, Ops Khas Tahun Baru Cina (TBC) 2025, Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025, Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2025, Ops Lejang, Penguatkuasaan Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bagi Bas Ekspres Dan Bas Persiaran, Ops Speed Limitation Device (SLD), Ops Perang Lebih Muatan, Ops Rentas Sempadan Zon Timur serta Ops Khas Kenderaan Mewah (Luxury).
“Hasil pelaksanaan operasi bersepadu itu, sebanyak 200,076 buah kenderaan diperiksa, dengan 58,541 buah kenderaan diambil tindakan, termasuk 116,183 notis dikeluarkan meliputi saman JPJ, notis arah periksa, panggilan temu siasat, kemuka butiran pemandu serta notis kesalahan lain. Selain itu, 491 buah kenderaan disita sepanjang tahun,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata dalam aspek pendakwaan, 32,455 kes dibawa ke mahkamah, termasuk 32,423 kes di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dengan kutipan hasil RM2.4juta manakala 32 kes di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 merekodkan kutipan RM56,500.
“Analisis menunjukkan jumlah kenderaan yang diambil tindakan menurun sedikit iaitu 58,541 buah pada 2025 berbanding 58,872 buah pada 2024, namun JPJ Negeri Kelantan menekankan bahawa tahap kesedaran dan pematuhan pengguna jalan raya masih perlu dipertingkatkan secara berterusan,”katanya.
JPJ Negeri Kelantan menegaskan bahawa penguatkuasaan bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya lebih menjurus kepada usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya demi keselamatan semua.
“Usaha ini adalah selari dengan sasaran JPJ untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030,”jelasnya.
Sehubungan itu, JPJ Negeri Kelantan akan terus memperkukuh pelaksanaan operasi penguatkuasaan secara berfokus dan bersepadu, khususnya melalui operasi keselamatan jalan raya, operasi khas musim perayaan, pemeriksaan kenderaan perdagangan serta penguatkuasaan terhadap kesalahan berisiko tinggi seperti memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan penggunaan telefon bimbit ketika memandu.
Selain itu, menurut beliau program advokasi dan pendidikan keselamatan jalan raya akan dipergiatkan bagi memastikan persekitaran jalan raya lebih selamat dan lestari untuk semua pengguna.
IMedikel TV






