SAPPORO: Kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dalam kemalangan melibatkan travelator di kawasan peranginan ski di wilayah utara Hokkaido, Jepun pada hujung minggu lalu dikenal pasti akibat lemas, menurut polis tempatan pada Selasa, lapor Agensi Berita Kyodo.
Memetik laporan Bernama-Kyodo menerusi Harian Metro, Hinata Goto, seorang kanak-kanak prasekolah dari Sapporo, maut akibat pakaian mangsa yang menjerut lehernya susulan kejadian di Otaru kira-kira 10 pagi Ahad, menurut polis.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang turun dari laluan bergerak yang menghubungkan kawasan parkir ke lereng ski berkenaan. Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkannya kira-kira 45 minit kemudian, namun beliau disahkan meninggal dunia di hospital.
Polis kini menyiasat insiden itu sebagai kemungkinan kes kecuaian profesional yang mengakibatkan kematian. – BERNAMA-KYODO, HMetro Online –
IMedikel TV






