BELGRADE: Sebuah bom Perang Dunia Kedua seberat 470 kilogram (kg) berjaya dikeluarkan dengan selamat dari sebuah tapak pembinaan di daerah tengah ibu negara Serbia.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, polis memaklumkan, bom buatan Amerika Syarikat (AS) jenis AN-M44 itu digunakan semasa serangan udara Pihak Berikat ke atas kedudukan Jerman ketika pembebasan Belgrade daripada pendudukan Nazi pada 1944.
Menurut polis, sebelum bom itu dikeluarkan, tinjauan terperinci dilakukan di lokasi iaitu tapak pembinaan terletak berhampiran kawasan perumahan dan sebuah pusat beli-belah.
Langkah berkenaan diambil bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi pemindahan bom dilaksanakan.
Penduduk di kawasan sekitar turut dimaklumkan supaya mengalihkan kenderaan dan meninggalkan kediaman masing-masing.
Bom itu kemudiannya dibawa ke kawasan latihan senjata tentera yang terletak kira-kira 180 kilometer (km) dari Belgrade.
Difahamkan, bom berkenaan akan dimusnahkan dalam beberapa hari akan datang.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa bom yang tidak meletup ketika perang ditemukan di Serbia.
Bagaimanapun, kesemua bom berkenaan berjaya dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang letupan.
Pada September 2024, sebutir peluru artileri berusia hampir satu abad seberat hampir 300 kg ditemukan dan dikeluarkan dari tapak pembinaan berhampiran parlimen Serbia di Belgrade.
Pada April 2024, sebuah bom besar ketika kempen pengeboman Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 1999 ditemukan di Nis, selatan Serbia.
Pada 2021 pula, sebuah bom Perang Dunia Kedua seberat 242 kg turut dikeluarkan dari sebuah tapak pembinaan di pinggir bandar Belgrade. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






